Sep 5, 2012

Jawapan Kepada Persoalan: Kenapa Perlu Wujudnya Agama?

Persoalan demi persoalan diajukan daripada brader Richard Dawkins penulis buku "The God Delusion" dan "The End Of Faith" yang boleh meragut iman seseorang jika agama Islam tidak difahami sedalam-dalamnya.


Apa kata kamu jika diajukan soalan-soalan seperti berikut?

Ini jawapan kepada ulasan daripada [blog ini].
  • Kenapa perlu wujud agama?
  • Kalau tiada agama, adakah kita tak boleh hidup seperti biasa?
  • Kita tahu bahawa dalam banyak perang yang berlaku, konspirasi yang berlaku seperti 11 September disebabkan oleh agama. Maksudnya agama penyebab perang. Bahaskan.
  • Kita tak nampak tuhan itu, tapi kenapa kita percaya?
  • Kenapa kita perlu percaya adanya hari kiamat?
  • Kita diajar sembahyang, tapi sembahyang itu untuk apa?
  • Tidak cukupkah moral menjaga diri kita?
  • Kenapa hidup kita perlu terikat dengan agama?
  • Kalau agama itu betul ,kenapa perlu ada banyak agama?
  • Siapa yang betul di sini?

Soalan-soalan psikologi berikut diajukan untuk mengelirukan akal kita semua terutama kita sebagai umat Islam. Bukan semua soalan boleh dijawab dengan akal sebagaimana dikatakan didalam Al-Quran "Pandangan akal selalu tersalah". Ini terbukti pada zaman dahulu manusia percaya bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ni ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Maka oleh itu berpegang teguhlah kepada dua perkara ini iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah nescaya kamu tidak akan tersesat.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.”

Ertinya orang yang akalnya tidak sihat atau orang yang tidak siuman atau orang yang terencat akal atau pun orang gila tidak boleh dan tidak mampu beragama. Mereka ini tidak dituntut beragama. Kalau mereka berbuat ibadah, tidak diberi pahala. Kalau mereka berbuat maksiat dan kemungkaran pun tidak berdosa.

Namun istilah tidak berakal dalam hadis tersebut bukan sahaja bermaksud gila atau tidak siuman atau terencat akal. Kalau itulah yang dimaksudkan, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan terus menyebut gila atau tidak siuman. Tidak berakal di sini juga bermaksud belum pandai menggunakan akal atau akal yang belum sempurna. Seperti kanak-kanak yang belum cukup umur atau belum akil baligh, mereka ini bukan gila atau bukan tidak siuman. Cuma mereka belum pandai menggunakan akal dan oleh itu dianggap tidak berakal. Mereka ini tidak diwajibkan beragama.

Walaupun begitu, hadis ini tidak pula bermaksud orang yang berakal atau orang yang sempurna akalnya sudah tentu akan beragama. Ini tidak berlaku. Berapa ramai kita lihat orang yang berakal malahan yang pandai-pandai pula tidak beragama bahkan ada di antara mereka yang menentang agama. Seperkara lagi, walaupun agama dalam hadis ini dikaitkan dengan berakal, ini tidak bermakna akal itu semata-mata adalah alat untuk beragama.

Justeru itu kalau akal diasah tajam-tajam dan diisi dengan berbagai-bagai dan sebanyak-banyak ilmu, belum tentu seseorang itu akan beragama, walaupun ilmu yang ada padanya adalah ilmu Quran dan hadis. Berapa ramai kita lihat profesor-profesor terutama di universiti-universiti di Barat dan Amerika yang mengajar ilmu Islam dan memberi ijazah, masters dan PhD ilmu Islam kepada graduan-graduan Islam tetapi mereka sendiri tidak beriman.

Hadis ini merujuk kepada orang yang tidak berakal dan bukan kepada orang berakal. Orang yang tidak berakal ialah orang yang tidak pandai atau belum pandai menggunakan akalnya. Orang berakal pula ialah orang yang mengagungkan akalnya. Ada beza antara dua istilah ini. Kalau orang yang tidak berakal susah hendak beragama, orang berakal yang berpandukan akalnya dan logik semata-mata, lebih-lebih lagilah susah hendak beragama. Sebenarnya, tidak berakal dalam hadis ini membawa maksud akal yang tidak terpimpin. Orang yang akalnya tidak terpimpin dianggap tidak berakal.

Dalam Islam, akal yang tidak terpimpin itu ialah akal yang tidak dapat berfungsi di atas landasan hak dan kebenaran. Iaitu akal yang berputar dengan bebas tanpa dikawal oleh hati yang yakin, beriman dan takut kepada Allah. Islam menganggap orang yang akalnya tidak mahu tunduk kepada hatinya atau kepada kebenaran sebagai orang yang tidak berakal. Akal seperti ini hanya akan tunduk kepada nafsunya sahaja.

Walau bagaimana pintarnya akal yang tidak terpimpin ini, ia tidak akan dapat keluar dari kepompong alam dunia dan alam material. Ia tidak dapat meneroka alam-alam yang lebih seni dari alam syahadah atau alam nyata ini seperti alam barzakh alam akhirat, syurga, neraka, malaikat dan hal yang berkaitan dengan Tuhan itu sendiri. Walhal semua itu adalah benar. Akal yang tidak terpimpin ini sangat bahaya. Ia akan bergantung habis-habisan kepada logik akal semata-mata dan tidak akan nampak sumber kebenaran yang lain.

Walhal kalau mengikut logik akal, akhirat itu tidak logik, syurga dan neraka tidak logik, hidup sesudah mati itu tidak logik, malaikat tidak logik bahkan Tuhan itu pun tidak logik. Justeru itu, orang yang akalnya tidak terpimpin akan mendapati sukar untuk mempercayai perkara-perkara ghaib seperti malaikat, hari kiamat, Tuhan dan sebagainya.

Jika diteliti balik soalan-soalan yang diajukan oleh brader Richard Dawkins sebenarnya boleh dijawab tetapi bagi aku tak ada jawapan yang mudah untuk soalan-soalan di atas. Contohnya soalan pertama: kenapa perlu wujud agama? Jawapannya bergantung kepada si penanya soalan. Bergantung kepada latar belakang dan tahap pemikiran si penyoal, jawapannya berlainan. Tetapi aku akan cuba menjawabnya, correct me if i'm wrong.

Kenapa perlu wujud agama? Kalau tiada agama, adakah kita tak boleh hidup seperti biasa?

Wujudnya agama kerana fitrah manusia itu sendiri, kita boleh hidup seperti biasa tanpa beragama, tetapi "biasa" yang bagaimana? Adakah boleh hidup tanpa ada peraturan? Itu adalah kehidupan tak ubah seperti haruan yang memakan anaknya, anjing mengawan anaknya. Dalam beragama adanya peraturan, jika tiada agama maka tiadalah peraturan dan jika tiada peraturan maka lahirlah kerosakan kerana agama menghindarkan kita melakukan maksiat. Setiap manusia dikurniakan bermacam-macam naluri termasuk juga naluri beragama. Walaupun Atheis menolak untuk memeluk suatu agama, tetapi mereka sebenarnya beragama dengan meletakkan akal sebagai tuhannya.

Kita tahu bahawa dalam banyak perang yang berlaku, konspirasi yang berlaku seperti 11 September disebabkan oleh agama. Maksudnya agama penyebab perang. Bahaskan.

Agama adalah jalan kedamaian bukan penyebab perang, manusia kafir itu sendiri yang memanipulasikan permainan agar kelihatan kafir itu mangsa dan Islam penjenayah selama ini yang berdalang. Sesungguhnya Islam tidak mengajar umatnya melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Perang bukan kerana alasan agama, tetapi kerana adanya perselisihan pemahaman agama masing-masing ditambah dengan hawa nafsu manusia terhadap kekuasaan. Sehingga sejak zaman Nabi Adam sampai sekarang tetap terjadi perang.

Kita tak nampak tuhan itu, tapi kenapa kita percaya? Kenapa kita perlu percaya adanya hari kiamat? Kita diajar sembahyang, tapi sembahyang itu untuk apa? Tidak cukupkah moral menjaga diri kita?

Kita tidak pernah melihat angin, tetapi kita dapat rasakan angin, begitu juga Allah, kita tak dapat melihat Allah tetapi kita dapat rasakan bahawa Allah ada dengan adanya alam ini kerana setiap ciptaan mesti ada penciptanya.

Kita perlu percayakan hari Kiamat kerana setiap yang hidup ada pengakhirannya iaitu mati, sama juga dengan alam ini, tidak akan selamanya kekal.

Solat didirikan adalah untuk berkomunikasi dengan Allah. KOMUNIKASI dengan Allah mampu melahirkan rasa CINTA dan SAYANG kita pada Allah. KOMUNIKASI adalah perkara utama di dalam perhubungan baik antara makhluk dengan Pencipta atau hubungan sesama makhluk. Tanpa KOMUNIKASI maka tidak akan terjalin hubungan. Maka tidak akan wujud CINTA dan SAYANG. Jika suami dan isteri tidak lagi berKOMUNIKASI, maka lambat laun hambarlah hubungan dan tidak mustahil akan berakhirnya hubungan yang hambar itu. Sepasang kekasih yang diputuskan KOMUNIKASI antara mereka, maka kecewa dan hancurlah jiwa dan akhirnya putuslah tali kasih sayang. Begitulah juga kita hamba Allah. Jika terputus KOMUNIKASI kita dengan Allah, maka makin jauhlah kita dengan Allah walaupun pada hakikatnya Allah itu dekat sangat dengan kita. Kita hanya dekat dengan Allah ketika solat, ketika baca Al Quran namun di masa lain, kita jauh daripada Allah. Itu pun jika kita kusyuk bersolat dan menghayati isi Al Quran yang dibaca. Sesungguhnya KOMUNIKASI amatlah terpenting dan PALING TERPENTING ADALAH KOMUNIKASI DENGAN ALLAH. Ia menjadikan kita sangat hampir dengan Allah. Menjadikan hati dan jiwa kita ini hanya untuk Allah.

Tiada sesiapa pun mempunyai moral menjaga diri yang cukup kerana tiada sesiapa pun tidak pernah berbuat salah bukan? Firman Allah SWT yang maha agung, "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada fahsya dan mungkar"

Kenapa hidup kita perlu terikat dengan agama? Kalau agama itu betul ,kenapa perlu ada banyak agama? Siapa yang betul di sini?

Agama itu mempunyai peraturan. Boleh tak kita tidak terikat dengan peraturan? Adakah aman kehidupan tanpa peraturan? Sebenarnya Islam tidak mengikat umatnya tetapi membawa manfaat kepada umatnya, contohnya haramnya riba dan zina.

Agama-agama itu diibaratkan sungai-sungai, berbeza hulunya tetapi sama muaranya iaitu laut. Ajaran-ajaran yang benar dari Tuhan memang umpama sungai-sungai yang mengalir ke muara yang sama. Namun ajaran-ajaran yang sesat, yang dibuat-buat manusia, tidak akan mencapai Tuhan, kerana yang dituju memang bukan Tuhan.

Islam adalah agama yang benar. Ini telah dibuktikan daripada sumber-sumber ajarannya. Untuk menghindari ajaran yang salah, manusia haruslah melihat sumber ajaran itu. Apakah ajaran itu bersumber dari dasar-dasar yang betul?

Cukuplah setakat ini huraian mengenai soalan-soalan diatas. Akhir kata, lihatlah sesuatu perkara itu dengan mata hati kerana pandangan akal sifatnya boleh tersalah. Tegurilah aku andai tersalah kata. Wassalam. - Nmhafiz.blogspot.com

- Beritasabahkini.blogspot.com

0 comments

Post a Comment