Jun 16, 2018

'KSN Perlu Jawab Jualan Kolam Tadahan Air Kepada Pemaju Kondo Milik UMNO'

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan penjualan kolam tadahan air tebatan banjir milik awam kepada syarikat pemaju swasta untuk projek kondominium mewah.

Beliau juga mendakwa kolam itu dijual di bawah paras harga pasaran tanpa proses tender terbuka.

Kolam yang dimaksudkan ialah kolam tadahan Jinjang yang terletak di Taman Wahyu di Kuala Lumpur.

Ia sedang dalam proses penambakan, sebahagiannya dikambus pasir.

"Pada suatu masa, kolam ini adalah kolam tebatan banjir yang besar. Tetapi kini sedang dikambus untuk menukar kolam besar ini menjadi kolam mini bagi membina 14,000 unit kondominium.

Semata-mata kondo mewah
"[...] Projek itu semata-mata untuk buat kondominium mewah, tiada rumah mampu milik, tiada sekolah, tiada apa-apa," kata Lim pada sidang akhbar yang diadakan di tebing kolam itu hari ini.

Menurut Lim, asalnya kolam tadahan seluas 36 ekar itu adalah sebahagian daripada kawasan tanah seluas 80 ekar yang dijual kepada Maqamad Sdn Bhd pada November 2015 dengan harga RM237.1 juta, atau RM68 setiap kaki persegi.

Maqamad kemudian menjual keseluruhan tanah itu kepada pemaju Perdana Park City, yang kini sedang membangunkan projek itu, yang dikenali sebagai "Lake City - KL North", dalam usaha sama dengan Country Garden yang berpangkalan di China.

Lim mendakwa harga jualan hartanah itu di bawah harga pasaran "sekurang-kurangnya RM250 satu kaki persegi" dan mengatakan bahawa Maqamad dimiliki oleh "anggota Umno", tetapi tidak memberikan sebarang nama.

"Dan tanah itu dijual tanpa tender (terbuka) langsung ke sebuah syarikat yang berkaitan dengan Umno.

"Saya telah menerima maklumat yang masih belum disahkan bahawa premium untuk tanah itu belum dibayar sepenuhnya, saya tidak tahu pemaju mana (yang belum membayar)," katanya.

Laporan media sebelum ini menunjukkan Maqamad terlibat dalam pembangunan hartanah dan perdagangan am.

Syarikat media milik Umno, Utusan Malaysia sebelum ini mempunyai kepentingan dalam firma itu.

Mengiringi Lim ialah Presiden Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping yang mempertikaikan tindakan pentadbiran BN sebelum ini yang meluluskan penjualan kolam yang bertujuan untuk tebatan banjir.

"Apakah dasar dan agenda (bekas) kerajaan untuk memberikan pemaju hak untuk membina sebuah kondominium di sini? Kolam ini adalah untuk tebatan banjir.

"Saya bingung kenapa geran tanah boleh dikeluarkan untuk kolam ini, tetapi apabila kami bertanya Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG), pihaknya berkata telah meluluskannya," katanya sambil memegang surat bertulis yang diterima sebelum ini daripada pejabat tanah.

Selanjutnya, Lim menuntut jawapan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa ( gambar, atas) yang bertanggungjawab ke atas Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

"Kami akan menunggu penjelasan Ali, beliau perlu ke depan dan membersihkan namanya.

"Sebagai seorang pekerja beliau hanya menurut perintah, (kita mahu tahu) siapa yang memberi arahan itu kepadanya," tambahnya.

Selain kawasan kolam yang ditambak, pemeriksaan mendapati poster untuk projek itu dipaparkan pada pagar di sekitar tapak pembinaan.

Sebuah bilik pameran berhampiran kolam berkenaan juga sedang dibina. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment