Sep 1, 2012

Kerajaan Sepatutnya Pantau Setiap Projek

KEMABONG: Pihak kerajaan negeri dan pusat diminta untuk memantau setiap pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar agar menepati keperluan golongan sasar.


Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, terdapat projek pembangunan di kawasan luar bandar seperti pembinaan jalan raya di kawasan Kemabong yang tidak menepati sasaran golongan sasar.

Katanya, isu ini bukan perkara remeh-temeh kerana yang bakal menikmati setiap pembangunan di kawasan luar bandar ini adalah penduduk kampung itu sendiri.

“Masalah ini harus dipandang serius kerana ianya melibatkan peruntukan yang besar daripada pihak kerajaan kepada rakyat dan seharusnya projek yang dilaksanakan itu bukanlah suatu pembaziran tetapi dilaksanakan untuk kebaikan dan manfaat kepada rakyat.

“Bayangkan pembinaan jalan raya dari Kg. Marais-Kemabong ini walaupun saya dan Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang telah mengemukakan masalah ini kepada peringkat atasan sehingga ke Parlimen iaitu melalui Majlis Tindakan Daerah, Jabatan Kerja Raya sehingga ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tetapi tidak mendapat perhatian yang serius menyebabkan pelbagai masalah timbul kerana salah satunya tidak menepati golongan sasar yang sepatutnya memerlukan jalan raya berturap.

“Ini umpama jalan menuju ke kawasan kampung tidak berturap dan hanyalah habuk sehingga ke kawasan rumah tetapi jalan ke kawasan kebun dan hutan pula berturap sedangkan yang memerlukan jalan raya ini adalah penduduk kampung,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Kebudayaan dan Penuaian Ikan Sistem Tagal Kg.Bakuku, dekat sini, kelmarin.

Tegasnya, ini adalah projek di bawah Program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sebenarnya bertujuan untuk memperbaiki prasarana asas luar bandar dan saya sebagai wakil rakyat di sini berasa berterima kasih dan bersyukur dengan pelbagai usaha dan bantuan dari pihak kerajaan yang tidak putus-putus dalam membantu meningkatkan kehidupan rakyat di kawasan luar bandar seperti di kawasan Parlimen saya

“Baru-baru ini ada pembentangan Hari Terbuka Hala Tuju GTP 2.0 iaitu Program Transformasi Kerajaan peringkat negeri Sabah, dan NKRA meletakkan sasaran 95 peratus liputan infrastruktur di seluruh Sabah yang membabitkan keperluan menyediakan jalan raya, air dan elektrik bagi golongan sasar.

Katanya lagi, disebabkan segelintir pihak yang melakukan pembangunan di kawasan Kemabong ini tanpa memaklumkan terlebih dahulu dengan kami menimbulkan kekesalan dan masalah terhadap penduduk di daerah ini terutamanya penduduk kampung di sekitar Kg. Bakuku yang lebih memerlukan jalan raya yang berturap tetapi sebaliknya pula berlaku.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya setiap projek pembangunan di kawasan luar bandar mendapat pemantauan agar setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan tepat mengikut keutamaan dan keperluan penduduk kampung serta mendapat perbincangan dari semua pihak terlebih dahulu dan bukannya melaksanakannya sesuka hati seolah-olah penduduk kampung dipermainkan sehingga boleh menjejaskan pelaksanaan program NKRA dan boleh mengakibatkan kegagalan transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan Kemabong, Sukimin Rukini meminta pihak kerajaan supaya mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di Kg.Ulu Tomani.

“Perkara ini telah berulang kali disampaikan oleh wakil rakyat di daerah ini iaitu Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggie kepada pihak atasan termasuklah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

“Namun sehingga kini, jalan di kampung ini masih lagi belum dinaik taraf sedangkan Kg.Ulu Tomani juga merupakan laluan utama bagi penduduk-penduduk kampung yang lain seperti Kg.Alutok, Kg.Tinura, Kg.Mahunsop, Kg.Malutut dan beberapa buah kampung yang lain termasuklah guru-guru dan murid-murid sekolah.

“Saya meminta pihak kerajaan menaik taraf jalan di kampung ini secepat mungkin kerana sokongan penduduk di sini amat kuat dan menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan Barisan Nasional yang selama ini terbukti banyak membantu dalam membela nasib rakyat,” katanya. - NewSabahTimes

0 comments

Post a Comment