Jun 29, 2018

132 Calon Pilihan Raya Dibunuh Di Mexico

MEXICO CITY: Seramai 132 calon pilihan raya Mexico mati dibunuh dalam tempoh sembilan bulan lalu, satu angka yang amat membimbangkan, lapor sebuah firma analisis risiko dan pengurusan krisis, Etellekt.

Dalam laporannya, ia menyatakan 22 daripada 32 negeri di Mexico menyaksikan pembunuhan bermotif politik sejak kempen bermula, September lalu, lapor Cable News Network (CNN).

"Keadaan ini menunjukkan ada pihak mencabar keselamatan dan urus tadbir demokratik di lokasi berkenaan dan ada kemungkinan melumpuhkan sesebuah parti politik," kata firma itu.

Antara insiden paling mengejutkan berlaku awal bulan ini apabila seorang lelaki mendekati dan menembak kepala seorang calon Kongres, Fernando Puron, dari jarak dekat selepas mangsa menamatkan debat di negeri utara Coahuila dan berikrar menangani jenayah.

Puron adalah anggota Parti Revolusi Institusi yang kehilangan 12 calon kerana serangan bersenjata.

Motif serangan tidak jelas tetapi kartel dadah dipercayai dalang kebanayakan pembunuhan itu, lapor Cable News Network (CNN).

Banyak pihak mengkritik Presiden Enrique Peña Nieto yang mengambil alih pada 1 Disember 2012, kerana gagal mengawal jenayah berkaitan dadah ketika mentadbir Mexico.

Bagaimanapun, pembunuhan bukanlah satu-satunya jenayah yang sedang dihadapi. Setakat ini pihak berkuasa merekodkan 543 insiden termasuk menculik dan peras ugut. - Agensi

0 comments

Post a Comment