Jun 15, 2018

Rakyat Malaysia Sanggup Buat Pinjaman RM37.5 Juta Untuk Sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Trend segelintir rakyat Malaysia yang mahu berbelanja mewah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri begitu membimbangkan apabila mereka sanggup membuat pinjaman peribadi sehingga lebih RM37.5 juta tahun ini.

Tinjauan di beberapa syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen mendapati jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh kebanyakan syarikat PPW khusus untuk menyambut Aidilfitri meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Rata-rata tujuan pinjaman itu dibuat untuk digunakan membeli kelengkapan hari raya dan belanja pulang ke kampung.

Lebih parah lagi, ada dalam kalangan peminjam menggunakan wang pinjaman itu untuk membeli kereta dan motosikal baharu.

Menurut Naib Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia, Amrinderjit Singh, kira-kira 1,500 PPW berlesen di seluruh negara meluluskan lebih 7,500 permohonan baharu kebanyakannya untuk pinjaman Aidilfitri.

Jelas beliau, secara purata setiap permohonan pinjaman wang itu berjumlah RM5,000 setiap seorang dengan nilai keseluruhan lebih RM37.5 juta.

Bagaimanapun, ada juga pe­langgan yang meminjam lebih RM10,000 bergantung kepada keupayaan kewangan.

“Kebiasaannya syarikat PPW menerima sekitar 10 orang pelanggan setiap bulan, bagaimanapun untuk sambutan Aidilfitri kami menerima sekurang-kurangnya lima pe­langgan baharu yang mahu menggunakan wang itu untuk belanja raya.

“Pada Aidilfitri kali ini kita anggarkan sekurang-kurangnya RM37.5 juta dipinjam daripada 1,500 syarikat PPW seluruh negara.

"Nilai itu mungkin lebih kerana jumlah sebenar PPW berlesen dianggarkan lebih 3,000 syarikat,” katanya.

Katanya, jumlah pinjaman yang diberikan oleh pelanggan dinilai mengikut kelayakan masing-masing dengan kadar faedah sekitar 12 hingga 18 peratus setahun, manakala tempoh bayaran balik selama dua tahun bagi mengelakkan mereka terbeban.

“Tidak dinafikan masih ramai yang mencari alternatif lain untuk meminjam iaitu pergi kepada ah long kerana prosedur pinjaman lebih mudah dan jumlah wang lebih banyak.

“Orang ramai keliru antara ah long dengan PPW. Melalui PPW, pelanggan dilindungi melalui Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Malaysia, R.C. Veeraseelan berkata, kebanyakan permohonan untuk pinjaman raya diterima daripada individu yang bekerja di sektor swasta. -kosmo

0 comments

Post a Comment