LONDON - Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid mungkin terpaksa melepaskan dua pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale sekiranya berhajat untuk membawa masuk penyerang sensasi Brazil, Neymar musim depan.
Ini kerana kelab Neymar, Paris Saint-Germain (PSG) pasti akan meletakkan harga perpindahan termahal dunia sekiranya membenarkan penyerang itu berhijrah ke Sepanyol.
Neymar sebelum ini menjadi pemain termahal dunia selepas PSG mendapatkannya dari Barcelona dengan rekod perpindahan £200 juta (RM1.06 bilion) musim lalu.
Situasi itu mungkin memaksa juara 13 kali Liga Juara-Juara Eropah itu melepaskan Ronaldo dan Bale bagi menampung dana membawa masuk Neymar ke Bernabeu.
Pemain pertahanan Real, Marcelo yang juga rakan sepasukan Neymar di Brazil mengakui bahawa pintu skuad The Galacticos itu sentiasa terbuka untuk Neymar musim depan, namun masih berharap Ronaldo dan Bale kekal bersama mereka.
"Cristiano Ronaldo bukan selama-lamanya milik Real Madrid, namun jika presiden (Florentino Perez) memilih pemain, sesiapa pun boleh berada di Real Madrid," jelas Marcelo.
Sebelum ini, pemain bintang Portugal dan Wales itu masing-masing telah memberi bayangan bahawa mereka akan meninggalkan Real selepas kemenangan 3-1 ke atas Liverpool di final Liga Juara-Juara bulan lepas. -agensi
0 comments
Post a Comment