Jul 7, 2018

Boeing Dedah Jet Hipersonik Terbang 2 Jam Dari London ke New York

MEREKA yang berada di London boleh ke bandaraya New York hanya dalam masa dua jam menjelang 2030.

Demikian dakwaan gergasi ruang angkasa Boeing, yang baru saja mendedahkan usahanya terhadap sebuah jet yang mampu terbang 2.5 kali lebih cepat berbanding Concorde.

Pesawat hipersonik yang baharu itu akan mencapai kelajuan sehingga Mach 5 (4,000 batu sejam) ketika terbang pada ketinggian 95,000 kaki, 30,000 kaki lebih
tinggi berbanding Concorde.

Boeing berkata pesawatnya itu akan membolehkan penumpang membuat perjalanan sehari merentasi Atlantik.

Lukisan kenderaan konsep itu didedahkan di persidangan American Institute of Aeronautics and Astronautics Aviation 2018 di Atlanta.

"Apabila anda melihat masalah dari Titik A ke Titik B di mana sahaja di dunia, persoalannya adalah berapa pantas anda mahu pergi dan berapa pantaskah yang betul-betul pantas?," kata Ketua Saintis Boeing untuk hipersonik Kevin Bowcutt memetik Aviation Week.

"Supersonik tidak cukup pantas untuk pergi ke luar negara dan kembali dalam satu hari.

"Bagi pengembara perniagaan atau tentera, di mana masa benar-benar
penting, itu adalah sesuatu yang menarik.

"Mach 5 adalah apa yang boleh dilakukan. Anda boleh melintasi Atlantik kira-kira dua jam dan merentasi Pasifik dalam masa kira-kira tiga jam."

Concorde dibina sebagai usaha sama oleh Britain dan Perancis. Ia adalah satu daripada dua jet penumpang supersonik memasuki perkhidmatan komersial, selain pesawat Rusia Tupolev Tu-144.

Pesawat hipersonik jauh lebih pantas daripada jet supersonik, bergerak dengan kelajuan Mach 5 (5 kali kelajuan bunyi).

Concorde boleh mencapai kelajuan tertinggi 1,354 batu sejam, lebih dari dua kali kelajuan bunyi. -MetroUK

0 comments

Post a Comment