SHAH ALAM 28 Jun – Warga Indonesia, Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong yang terlibat dalam kes pembunuhan lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam didakwa menjalani dua kehidupan dan salah satunya adalah sebagai pembunuh terlatih.
Hal ini kerana mereka yang terlatih sahaja tahu apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas kejadian dan bahagian anggota badan yang perlu diserang bagi mendapatkan hasil efektif, ujar Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Tinggi.
“Serangan terhadap Jong-nam adalah satu tindakan yang disengajakan.
"Mangsa diserang dengan menggunakan bahan sangat berbahaya dan peluang untuk hidup selepas diserang adalah sangat tipis.
"Kedua-dua tertuduh juga mengetahui mata adalah bahagian yang akan memberikan kesan terbaik berbanding anggota badan yang lain.
“Tindakan oleh kedua-dua tertuduh bukan berlaku secara tiba-tiba. Perlakuan mereka selepas menyapu racun VX itu seperti dilatih oleh pakar. Sesiapa yang merancang pembunuhan itu memerlukan seorang pembunuh terlatih.
“Tiada ruang untuk gagal dan tidak boleh sekadar pilih sesiapa sahaja untuk dijadikan kambing hitam untuk melakukan perkara itu.
"Pembunuh terlatih perlu digunakan bagi mengurangkan risiko gagal. Apa yang berlaku tidak ubah seperti dalam filem James Bond,” katanya ketika mengemukakan hujahan balas pada akhir kes pendakwaan.
Dalam perbicaraan yang bermula pada 2 Oktober tahun lalu, Thi Huong, 29, dan Siti Aisyah, 26, didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Empat individu terbabit dikenal pasti sebagai Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34; Mr. Y (Ri Ji Hyon),33; Hanamori (Ri Jae Nam), 57; dan James atau O Jong Gil, 55.
Berhubung dakwaan barisan pembelaan bahawa anak guam mereka terlibat dalam rancangan mengenakan seseorang (prank), Wan Shaharuddin memberitahu, tiada unsur kelakar dalam perbuatan kedua-dua tertuduh.
“Peguam bela tertuduh kedua (Thi Huong), Datuk Naran Singh sendiri pernah menyatakan ketika soal balas bahawa prank adalah sesuatu yang kelakar.
"Tetapi tiada siapa pun di sini yang ketawa apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu,” katanya.
Wan Shaharuddin turut menyatakan pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan motif kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan tersebut kerana perkara yang perlu dibuktikan ialah kematian Jong-nam adalah akibat tindakan kedua-dua wanita itu.
Selesai mendengar hujah kedua-dua pihak sejak semalam, Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan 16 Ogos ini untuk keputusan pada akhir kes pendakwaan iaitu sama ada akan memanggil Siti Aisyah dan Thi Huong untuk membela diri atau melepaskan mereka daripada pertuduhan tersebut.
Perbicaraan berlangsung selama 39 hari mulai 2 Oktober 2017 dengan seramai 34 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 236 bahan bukti telah dikemukakan termasuk 21 keping cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian Jong-nam dibunuh. -utusan
0 comments
Post a Comment