KENINGAU: GiatMara Keningau mampu dijadikan pusat untuk memperkasa pembangunan modal insan dalam bidang industri kayu.
Pengurus GiatMara Keningau Jamidol Alip berkata pusat itu turut dijadikan tempat lawatan penting oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) Sabah bagi membincangkan beberapa perkara.
"Perbincangan berkenaan termasuklah Program Latihan Kursus Berjadual atau Suaikhas WISDEC Sabah, Program Installer For Bulit In Cabinet (BIC) dan Program SKM Tahap tiga Khas untuk lepasan pelatih GiatMara Keningau.
"Kemudahan Fasiliti Design Incubation Centre (DIC) serta perkara yang boleh mengeratkan hubungan sesama agensi dalam memperkasa aspek pembangunan modal insan dalam bidang industri kayu turut dibincangkan sepanjang lawatan," katanya.
Jamidol berkata lawatan WISDEC di GiatMara Keningau sedikit sebanyak memberikan peluang besar kepada lepasan pelatih yang memiliki Sijil Kemahiran tahap dua untuk mempertingkat kemahiran sedia ada mengikut keperluan semasa.
"Lawatan ini juga adalah salah satu pengalaman cukup berharga yang selama ini tidak pernah terlintas di fikiran saya berikutan belum ada agensi besar yang menawarkan untuk bekerjasama dengan GiatMara Keningau sebelum ini.
"Kita lebih positif ke arah mempertingkatkan GiatMara Keningau dalam pelbagai aspek bagi membolehkan lepasan pelatih kita sentiasa menjadi buruan pelbagai agensi dalam arena pekerjaan kelak," katanya. -utusan borneo
0 comments
Post a Comment