Jun 29, 2018

Guru Pukul Murid Darjah Satu Hingga Lebam Didenda RM900

KUALA LUMPUR - Seorang guru lelaki yang memukul murid perempuan darjah satu sehingga berbirat dan lebam pada lengan kiri mangsa kerana murid itu salah menulis huruf 'Y dan W' hari ini didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Namirah Hanum Mohamed menjatuhi hukuman itu terhadap Hii Sii Teck, 36, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan sengaja mencederakan murid berumur tujuh tahun dengan memukul tangannya di dalam kelas, di sebuah sekolah di Jalan Gombak, Setapak pada jam 8 pagi, 8 Februari lalu.

Sii Teck didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda.

Terdahulu, Sii Teck yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih mengajar di sekolah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kecederaan di tubuh badan mangsa dan kesalahan dilakukan tertuduh tidak sepatutnya berlaku kepada kanak-kanak perempuan.

Mengikut fakta kes pada 8 Februari lalu, jam 4 petang, semasa pengadu yang merupakan ibu kanak-kanak itu hendak memandikan anaknya beliau mendapati ada kesan berbirat dan lebam pada lengan kiri anaknya.

Pengadu kemudian bertanya mengenai kesan itu dan anaknya memberitahu seorang guru lelaki memukul lengannya semasa berada di dalam kelas dan punca guru itu memukul mangsa kerana murid itu salah menulis huruf 'Y dan W'. - Bernama

0 comments

Post a Comment