Jun 28, 2018

'Tarian K-Pop' Singkir Juara Dunia Jerman

KAZAN, Russia: Juara bertahan, Jerman tersingkir daripada Piala Dunia 2018 selepas tewas 0-2 kepada Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan F.

Kekalahan kedua yang dialami skuad kendalian Joachim Low itu menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot selepas mengumpul tiga mata.

Korea Selatan yang turut meraih tiga mata berada di kedudukan ketiga selepas tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini.

Jaringan pada masa kecederaan daripada Young-Gwon Kim (minit-94) dan Heung-Min Son (96) sudah cukup untuk memastikan Jerman tersingkir awal daripada kejohanan kali ini.

Sementara itu, Sweden yang tewas kepada Jerman sebelum ini muncul juara kumpulan selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Mexico dalam satu lagi aksi kumpulan itu.

Mexico yang cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan mengiringi Sweden ke pusingan 16 terakhir.

Air mata Jerman

Selepas nyanyian “selamat tinggal” terhenti, peminat Jerman terus bertindak balas terhadap keputusan memalukan juara bertahan, Jerman yang tersingkir pada pusingan pertama Piala Dunia.

Malah, keputusan itu turut dianggap sebagai “sejarah memalukan” buat bola sepak Jerman.

“Mimpi ngeri Piala Dunia kami sudah menjadi kenyataan,” kata akhbar Bild.

Walaupun sebelum wisel penamat ditiupkan di Kazan Arena, Russia, penyokong di Berlin sudah mula meninggalkan bandar itu selepas kecewa dengan prestasi Jerman ketika menentang Korea Selatan.

Perkataan “Raus (tersingkir)” dan “Auf Wiedersehen (selamat tinggal)” bermula dari zon penyokong selepas pasukan itu mengalami kekalahan buruk 0-2 kepada Korea Selatan.

“Ini bukan juara dunia, mereka tidak melawan,” kata Oliver Fischer, 27, yang memakai jersi Jerman.

“Kami benar-benar patut tersingkir, kami tidak melawan, tiada keberanian, tiada idea!”

Kebanyakan penyokong bersedih dan meletakkan tangan di kepala sebagai tanda tidak percaya pasukan mereka sudah tersingkir daripada Piala Dunia. -Hmetro/Agensi

0 comments

Post a Comment