SHAH ALAM - Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin sepatutnya lebih memahami batas-batas isu yang tidak wajar dibangkitkan lebih-lebih lagi melibatkan Raja-raja Melayu.
Bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, agak sukar untuk A Kadir bercakap atas kapasiti peribadi ketika memegang jawatan sebagai Ketua Unit Media Majlis Penasihat Kerajaan dan antara pimpinan tertinggi dalam Bersatu.
“Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan veteran dalam bidang kewartawanan, A Kadir sepatutnya maklum berkenaan batas-batas isu yang tidak wajar dibangkitkan di atas apa jua sebab dan alasan.
“Sebagai pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Ketua Komunikasi, Majlis Penasihat Kebangsaan, agak sukar sebenarnya untuk A Kadir mempertahan hujah bahawa ini adalah pandangan peribadi.
“Sebagai seorang yang berada di dalam paksi kepimpinan kerajaan, sikap dan pandangan A Kadir ini adalah tidak wajar dan hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam entri blognya, A Kadir berkata, secara purata sebanyak RM16 juta dibelanjakan untuk Yang di-Pertuan Agong sebulan bagi penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.
Kenyataan itu menerima kritikan banyak pihak hingga ada yang membuat laporan polis malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan bekas pengarang itu sebagai tidak wajar.
Dalam pada itu, Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas sempat memuji sikap dan pandangan rasmi Anwar terhadap institusi diraja.
“Pandangan Anwar ini kelihatan cukup cermat dan bersesuaian benar dengan suasana politik yang perlu dijernihkan dengan keluhuran akal budi dan tidak berasaskan politik dendam.
“Kesungguhan Anwar dalam menemui dan menyantuni Tuanku adalah amalan politik yang mulia dan wajar dipuji,” katanya.
Tegasnya, Agong dan institusi raja tidak wajar sama sekali diheret dalam kancah perseteruan politik malah harus diletakkan pada aras penghormatan yang lebih tinggi. -sinar online
0 comments
Post a Comment