Jun 7, 2018

Musa Aman Mungkin Transit Di Brunei Sebelum Menghilang

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendedahkan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dipercayai menjadikan Brunei Darussalam sebagai transit sebelum keluar meninggalkan negara.

Beliau berkata ini berikutan pihak Jabatan Imigresen tidak memiliki rekod bahawa Musa meninggalkan negara ini.

“Oleh itu, kami percaya beliau (Musa) keluar melalui Brunei untuk ke negara lain dan polis sedang mengesannya.

“Ada yang mengatakan bahawa beliau berada di Brunei tetapi tiada lokasi yang spesifik,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Fuzi juga telah memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa Brunei untuk membantu mengesan Musa sekiranya berada di negara itu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata Musa telah meninggalkan Sabah sejak 14 Mei.

Polis juga cuba untuk merakamkan kenyataan daripada bekas ketua menteri itu bagi menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 19 Mei dipercayai berhubung ugutan jenayah.

Dalam pada itu juga, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali memberi amaran kepada Musa bahawa tindakan akan diambil jika pengerusi BN Sabah itu meninggalkan negara secara menyalahi undang-undang.
-bernama

0 comments

Post a Comment