Jun 16, 2018

SKMM: Gangguan Laman Sesawang .my Sudah Diatasi

MYNIC Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), mengesahkan bahawa rantaian kepercayaan antara pelayan MYNIC dengan Internet Assigned Numbers Authority (IANA) telah terputus.

"Siasatan awal kami mendapati pelayan tanda tangan MYNIC mengalami kerosakan dan menyebabkan terputusnya rantaian kepercayaan antara pelayan MYNIC dan IANA," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan itu, pasukan tindakan pantas MYNIC memberi keutamaan tertinggi untuk memulihkan perkhidmatan terjejas serta memantau keadaan dan mereka telah mendapatkan bantuan daripada syarikat infrastruktur berpusat di Amerika Syarikat, Verisign serta IANA bagi melakukan kerja pemulihan.

MYNIC berkata kejadian itu tidak menyebabkan berlaku sebarang pencerobohan terhadap data dan perkara yang menjadi isu sekarang ialah berkaitan akses kepada perkhidmatan domain MYNIC.

Kerja pemulihan akan mengambil masa termasuk untuk menyebarluas semula nama domain .my kepada dunia, katanya.

Menurut kenyataan itu, MYNIC sentiasa berusaha untuk melindungi nama domain serta meningkatkan keselamatan iaitu dengan memantapkan lagi lapisan lain berhubung pengesahan DNS bagi memastikan wujudnya perlindungan dari hujung ke hujung.

MYNIC Bhd menyediakan perkhidmatan domain bagi .my dan perkhidmatan berkaitan, yang memberi kepada organisasi dan individu Malaysia identiti unik masing-masing di internet dan ekosistemnya.

Ia juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengendalikan perkara itu secara holistik.

Sementara itu, MYNIC berkata pihaknya mendapat sokongn berterusan daripada KKMM dalam memastikan pembangunan industri nama domain menjadi sebahagian daripada infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia.

Terdahulu, terdapat laporan bahawa pelayan DNS yang mengendalikan nama domain .my dikatakan terkeluar daripada talian sejak semalam dan telah menjejaskan semua laman sesawang menggunakan domain .my. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment