BEIJING – Seekor kucing psikik di China yang berjaya meramal keputusan enam perlawanan Piala Dunia 2018 di Rusia telah mati, menyebabkan beribu-ribu pengguna melahirkan kesedihan mereka di media sosial negara itu semalam.
Kucing berbulu jingga dengan nama Baidian’er yang bermaksud tompok putih itu merupakan kucing jalanan yang berkeliaran di kawasan sekitar Muzium Istana di Kota Larangan di Beijing.
Kucing itu biasanya disediakan dua pilihan mangkuk makanan dengan bendera pasukan yang bertanding pada Piala Dunia di atas tanah di belakang mereka.
Baidian’er sebelum ini dengan tepat meramalkan keputusan enam perlawanan Piala Dunia.
Populariti haiwan itu menyebabkan pihak Muzium Istana membuat satu akaun khas untuk Baidian’er di laman Weibo, platform media sosial popular seperti Twitter.
Malangnya, ramalan tepat Baidian’er tentang kemenangan Argentina menentang Nigeria menjadi ‘tilikan’ terakhirnya.
Muzium itu berkata, kucing tersebut jatuh sakit dan akhirnya diumumkan mati pada Isnin lalu menyebabkan hampir 10,000 komen diterima di Weibo.
“Setiap kali saya pergi ke Kota Larangan, saya akan pergi melihat Baidian’er, merakam gambar dan bermain dengannya seketika selain melihatnya tidur di atas rumput di bawah matahari,” komen seorang pengguna yang kecewa.
“Pergilah menjalani kehidupan yang bahagia di dalam Syurga Kucing, saya akan bertemu kamu lagi,” menurut satu lagi komen. -kosmo
0 comments
Post a Comment