Jul 22, 2018

Cegah Ancaman Pengganas LTTE Di Malaysia - Mufti Perlis

KUALA LUMPUR 22 Julai - Rakyat Malaysia seluruh negara digesa terus membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bagi memastikan keharmonian kaum sentiasa terjaga.

Perkara tersebut disuarakan oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, kehadiran LTTE yang telah disenaraikan sebagai satu daripada pertubuhan pengganas di peringkat antarabangsa membuatkan masyarakat berada dalam keadaan ketakutan dan tidak selamat.

Jelas Mohd. Asri dalam rakaman video berdurasi kira-kira dua minit, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, pertubuhan atau pun aliran politik sewajarnya bertindak dengan melakukan laporan polis supaya tindakan tegas dapat diambil kerajaan bagi mencegah apa sahaja aktiviti keganasan terutama LTTE.

“Marilah kita bersama-sama bersatu melakukan laporan polis memandangkan ada individu yang terlibat dengan politik iaitu Ramasamy telah dikaitkan dengan pertubuhan ini. (Jadi), kita merasakan Malaysia berada dalam keadaan tidak selamat.

“Laporan polis dibuat supaya tindakan tegas diambil pihak kerajaan bagi membendung apa saja aktiviti keganasan dalam negara terutama aktiviti LTTE ini,” katanya dalam video berkenaan.

Video yang telah dimuat naik dalam Youtube oleh akaun Geng Muslim itu telah mendapat kira-kira 13,000 tontonan sehingga pukul 10.30 pagi ini sejak mula dimuat naik.

Kontroversi melibatkan Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tercetus apabila sekeping gambar memaparkan beliau mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tular dalam media sosial.

Ramasamy kelmarin sekali lagi menafikan mempunyai kaitan dengan LTTE apabila mengatakan beliau hanya dijemput untuk menjadi perunding damai antara kerajaan Sri Lanka dengan pertubuhan berkenaan semasa menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Khamis lalu, pihak polis mengesahkan telah menerima sebanyak 53 laporan polis berhubung dakwaan mengaitkan Ramasamy dengan LTTE. -UTUSAN

0 comments

Post a Comment