Jul 4, 2018

Kenapa Najib Tidak Pakai Baju Oren SPRM?

KUALA LUMPUR: Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Rabu, ramai yang bertanya mengapa beliau tidak memakai baju oren.

Merujuk kepada 'uniform' lokap Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib sebaliknya dilihat memakai sut biru gelap dengan kemeja putih.

Baju oren itu hanya dipakai oleh suspek yang ditahan reman untuk siasatan.

Sebelum ini, bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan Ketua Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal pernah dirakamkan memakai baju ini ketika hadir di mahkamah untuk ditahan reman.
Suspek yang direman juga boleh digari.

Proses reman melibatkan seorang suspek yang dibawa ke hadapan majistret, yang kemudian akan memutuskan sama ada pihak berkuasa dapat menahan suspek untuk jangka masa tertentu, menurut sumber.

Biasanya, seorang suspek ditahan reman kerana penyiasat memerlukan lebih banyak masa untuk menyoalnya, atau mengumpul bukti yang mencukupi untuk kemungkinan pendakwaan.

Dalam kes Najib, beliau tidak direman tetapi ditahan semalaman pada Selasa (3 Julai) dan segera didakwa pada Rabu (4 Julai).

Begitu juga dengan Lim Guan Eng tidak diminta memakai baju oren yang tertera tulisan 'Lokap SPRM' apabila dia berada di mahkamah untuk dikenakan pertuduhan rasuah.

Peguam N. Surendran berkata selagi seseorang tidak disabitkan dengan apa-apa jenayah, mereka tidak boleh dipaksa memakai pakaian seragam berwarna apa sekali pun.

"Amalan memakai pakaian seragam ini memberi tanggapan terhadap mereka yang tidak bersalah," katanya. -mstar

0 comments

Post a Comment