Jul 6, 2018

Najib Mahu Singkir Thomas Ketuai Pasukan Pendakwaan Kes SRC

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat permohonan rasmi kepada Mahkamah Tinggi untuk menyingkirkan Peguam Negara Tommy Thomas daripada mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan kesnya.

Memetik laporan The Star, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan itu dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kami perlu mengkaji kes terlebih dahulu dan mengumpul semua bahan yang diperlukan.

“Kami akan menyusun semua kenyataan yang dikeluarkannya mengenai klien saya selepas pendakwaan kes,” katanya, semalam.

Menurutnya, pasukan peguam bela memerlukan masa untuk mencari semua bahan yang diperlukan dan memfailkan permohonan itu sebaik sahaja dokumen lengkap.

Rabu lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pembatalan tersebut, Thomas berkata, beliau mahu menunggu permohonan tersebut difailkan pihak lawan dan tidak memberikan komen lanjut.

Sebelum itu, Thomas mendakwa pihak pendakwaan mempunyai kes kuat terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam SRC International.

“Kami membuat kesimpulan bahawa kami mempunyai kes prima facie yang kuat tetapi memakai prinsip bahawa tertuduh tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya. -sinar online

0 comments

Post a Comment