Aug 20, 2018

Musa Aman Pulang Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang berada di luar negara dijangka akan pulang ke negara dalam masa terdekat.

Hal itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
"Kita jangka dalam masa terdekat dia (Musa) akan pulang. Saya tidak boleh kata pulang hari ini, tidak boleh kata esok. Tapi dalam masa terdekat.

"Berkenaan dakwaan itu, itu hanya viral sahaja. Kita tak tahu bila dia akan pulang," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gotong-rotong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat PDRM, di Bukit Aman, hari ini.

Mohamad Fuzi menjelaskan, beliau berharap Musa akan pulang segera dengan sukarela bagi pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu, tular bahawa Musa Aman yang bersembunyi atas alasan mendapatkan rawatan kesihatan di United Kingdom difahamkan akan dibawa balik ke Malaysia, hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu lagi, Musa Aman akan mendarat di Singapura terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, beliau berada di Britain atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei
Pada 11 Julai lalu, Mohamas Fuzi turut mengesahkan Musa kini diletakkan dalam senarai individu yang dikehendaki. -sinar online

0 comments

Post a Comment