Nov 13, 2018

Bayaran Khas RM500 Kakitangan Awam Dibayar Sebelum 25 Disember 2018

PUTRAJAYA - Bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 akan dibayar sebelum 25 Dis ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ini kali pertama kita bayar bonus pada tahun yang sama. Sebelum ini (bayaran khas) dibayar pada tahun berikutnya.

“Belanjawan 2018 memang tiada. Maka, kita akan mencari sumber.

“Kita berharap menerusi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menambah sedikit (pendapatan) untuk menampung bonus pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Guan Eng menghadiri Majlis Mesra Warga Kastam Bersama Menteri Kewangan bersempena Sambutan Deepavali 2018 di Kompleks Kementerian Kewangan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, Guan Eng berkata kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi penjawat awam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Bayaran khas itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

Ditanya mengenai khabar angin rombakan kabinet, beliau berkata, “Saya tidak dengar langsung."

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Bersatu.

Portal itu mendakwa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun antara yang bakal digugurkan.

Lim dalam pada itu menolak dakwaan bahawa peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam Belanjawan 2019 dikurangkan separuh berbanding 2018 dan pengurangan itu mempunyai kaitan dengan hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Ini adalah tidak benar. Peruntukan Mara tidak dipotong separuh. Ia masih wujud dan terus diuruskan dua hingga tiga kementerian. Sekiranya anda lihat (peruntukan untuk Mara) kurang, ia kerana fungsinya telah dipisahkan kepada kementerian lain,” katanya.

Semalam, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat berkata peruntukan Mara dikurangkan lebih 50 peratus daripada RM3.5 bilion pada 2018 kepada hanya RM1.3 bilion untuk 2019.

Wakil rakyat Barisan Nasional itu turut mempersoalkan sama ada pengurangan peruntukan Mara dalam Belanjawan 2019 mempunyai kaitan dengan hasrat kerajaan untuk meratifikasi ICERD. -Bernama

0 comments

Post a Comment