“Jika di India ada pengkhianat seperti itu, saya percaya dia tidak sempat masuk ke Dewan Parlimen pun,” demikian reaksi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang kontroversi selepas video lamanya memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik tular di media sosial.
Mohd Asri yang sebelum ini melabel Moorthy sebagai pengkhianat membandingkan hak yang diterima di Malaysia dengan India.
“Jika di India ada pengkhianat seperti itu, saya percaya dia tidak sempat masuk ke Dewan Parlimen pun. Itu pun si pengkhianat itu menganggap kononnya dia tidak diberikan hak di Malaysia.
“Di India, masjid pun sukar hendak dibina, apatah lagi untuk membina atas tanah haram kemudian meminta kerajaan mengiktiraf.
“Malangnya, dengan tidak malu dia memfitnah negara yang memberi kebaikan yang banyak untuk dirinya sehingga mempunyai pelajaran kemudian menjadi menteri,” katanya dalam catatan di Facebook.
Tegasnya, di Malaysia tiada masyarakat dihambakan atau diperlakukan mengikut kasta seperti di India.
“Di Malaysia, tidak pernah ada kawasan seperti di India yang kasta tertentu tidak dibenarkan masuk. Tiada masyarakat dihambakan ataupun diperlakukan kerana kastanya di sini seperti yang berlaku di India.
“Bahkan perkataan 'pariah' pun tidak pernah ada dalam ajaran Islam ataupun adat istiadat Melayu. Siapakah yang membawa perkataan itu ke sini kemudian dia pula yang mendakwa Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum yang begitu teruk? Apakah rakyat Malaysia boleh membiarkan individu seperti itu terus berada di Malaysia?” katanya.
Beliau sempat memuji ahli Parlimen Umno dan Pas yang membantah Moorthy di Dewan Rakyat.
“Ahli Parlimen Umno dan Pas menyuarakan bantahan mereka kepada pengkhianat negara di Parlimen Malaysia. Bersyukur atas peranan yang mereka mainkan,” katanya. -sinar online
0 comments
Post a Comment