Nov 6, 2018

Larangan Merokok: Perokok Diberi Amaran Dalam Tempoh Enam Bulan

KAMPAR - Kementerian Kesihatan akan menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam tempoh enam bulan selepas larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.

Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, tindakan itu bertujuan untuk mendidik perokok supaya tidak merokok di kawasan larangan dalam memastikan orang awam bebas pencemaran asap rokok.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya akan mengeluarkan saman terhadap perokok yang masih berdegil merokok di premis makanan selepas tempoh berkenaan.

"Sepanjang tempoh (enam bulan) itu, kami akan bagi amaran lisan kepada perokok jika mereka merokok di restoran atau premis makanan berkonsep terbuka atau restoran tanpa penyaman udara.

"Jika perokok enggan mematuhi amaran itu (selepas tempoh itu) dan masih meneruskan merokok, mereka akan disaman dengan segera," katanya kepada kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Malim Nawar.

Boon Chye yang juga Anggota Parlimen Gopeng turut meminta pemilik premis makanan supaya memaparkan amaran larangan merokok dan tidak meletakkan bekas abu rokok di atas meja.

"Langkah ini bagi mengelakkan pelanggan merokok di premis makanan," katanya. -Bernama

0 comments

Post a Comment