Nov 9, 2018

Tun Mahathir Jelaskan Kenapa UMNO Perlu Dibubar

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan berhubung dakwaan beliau meminta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno dan menyertai parti itu.

Perdana Menteri itu berkata, ia kerana Umno dianggap sudah tiada lagi, cuma sebagai sebuah organisasi yang berdaftar dan tiada prinsip perjuangan.

Dr Mahathir berkata, tiada gunanya Umno dikekalkan sedangkan perjuangan asalnya sudah ditinggalkan.

"Apa perlunya ahli-ahli Umno kekal dalam parti yang sudah tinggalkan perjuangannya?

"(Umno kini) utamakan duit, 'cash is king'. Sebab itu Umno yang semacam itu perlu dibubar," katanya menerusi rakaman video dalam laman sosial Facebook Bersatu yang dimuat naik hari ini.

Beliau berkata, jika ahli-ahli Umno berhasrat untuk menyertai parti lain, sifat-sifat negatif itu perlu digugurkan kerana ia menjadi punca kepada kekalahan parti itu pada PRU14 lalu.

"Sifat-sifat yang ada pada mereka yang menyebabkan parti Umno itu yang begitu lama berjuang, dipandang tinggi dahulu, sudah jadi parti yang dipandang jijik oleh seluruh masyarakat di Malaysia.

"Kerana itu, mereka kalah. Dulu Umno tak pernah kalah, ianya kalah kerana sudah menyeleweng disebabkan pemimpin yang utamakan duit dan 'cash is king' daripada perjuangan," katanya. -sinar online

0 comments

Post a Comment