MCA meluluskan usul membubarkan BN dan membentuk perikatan baharu dalam Perhimpunan Agung Tahunan di Wisma MCA.
Presidennya, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata persetujuan dibuat sebulat suara kecuali seorang perwakilan tidak bersetuju tanpa menamakan individu tersebut.
"Perhimpunan Agung memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Pusat untuk memulakan proses pembubaran BN serta membentuk perikatan politik baharu.
"Jadi setelah mengambil kira pandangan orang-orang muda dan veteran politik yang mengambil bahagian, maka resolusi itu telah diluluskan kecuali satu (orang) yang tidak setuju.
"Semua di dalam dewan angkat tangan setuju, cuma seorang yang tidak setuju, maka diluluskan resolusi. Saya berharap jangan ada yang buat andaian bukan-bukan kata protes dan sebagainya, mana ada protes," katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu ditangguhkan.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata pembubaran itu dapat memberi ruang kepada setiap parti untuk membuat penilaian dan transformasi.
"Kita amat yakin kerjasama bersandarkan perpaduan erat dan ikhlas merupakan batu asas kepada pembangunan negara namun setelah sekian lama memerintah BN telah mengalami kecenderungan kuasa ketara manakala kesemua parti perlukan penghayatan, penilaian semula dan transformasi parti masing-masing.
"Justeru itu, demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana kesefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam transformasi dan bina semula.
Apabila ada kesesuaian atau persamaan visi maka perikatan politik boleh diteruskan," katanya.
Namun beliau sempat menegaskan bahawa MCA akan terus berfungsi sebagai pembangkang dan bersolidariti menyuarakan pandangan atau bantahan kepada kerajaan. -sinar online
0 comments
Post a Comment