Jun 26, 2019

29 Perokok Dikenakan Kompaun Di Sandakan

SANDAKAN: Berikutan tidak mengindahkan tanda amaran kawasan larangan merokok, seramai 29 perokok tegar dikenakan tindakan kompaun dengan nilai keseluruhan tawaran kompaun sebanyak RM 7,250 setelah didapati merokok dalam kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Sebanyak 29 notis dibawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah berjaya dikeluarkan dalam beberapa siri operasi banteras asap rokok sekitar daerah Sandakan dengan melibatkan 35 pegawai terdiri Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam dari Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Haji Johari Awang Besar berkata pihaknya mendapati segelintir perokok masih gagal mematuhi peraturan larangan merokok di kawasan yang diisytihar sebagai kawasan larangan merokok, walaupun papan tanda di pasang di tempat yang mudah dilihat dan berbagai maklumat telah dihebahkan.

Beliau berkata, sehingga kini masih terdapat kesalahan dikesan di beberapa kawasan di larang merokok iaitu merokok dalam kawasan hospital 10 kesalahan dikesan, merokok di kawasan kompleks membeli-belah sembilan kesalahan dikesan manakala empat kesalahan di lapangan terbang sementara enam kesalahan dikesan di kawasan bangunan premis kerajaan.

Katanya, objektif operasi penguatkuasaan larangan merokok adalah untuk melindungi orang ramai khususnya golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok atau produk berasaskan hasil tembakau.

Selain itu, ianya juga untuk membudayakan amalan tidak merokok kalangan masyarakat dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam.

“Kesemua perokok yang dikenakan tindakan mengikut peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan menerima notis tawaran kompaun kerana merokok di zon larangan merokok agar datang untuk menjelaskan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan yang terdekat mengikut tempoh yang telah dinyatakan,” jelasnya dalam satu kenyataan akhbar.

Mengulas lanjut, Johari turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan larangan merokok di kawasan yang diwartakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Menurutnya lagi, operasi sama akan dilaksanakan secara berterusan di semua kawasan yang diwartakan dari masa ke semasa. -NewSabahTimes

0 comments

Post a Comment