Jun 23, 2019

Warga Asing Di Penjara Tipu Pembelian Tokek

KOTA KINABALU: Seorang warga asing dihukum penjara 18 bulan kerana melakukan penipuan melibatkan RM8,050 bagi pembelian tokek daripada Filipina.

Majistret Jessica Ombou Kakayun juga mengarahkan Riszuan Mubin supaya di rujuk ke Jabatan Imigresen setelah menjalani hukuman penjara.

Riszuan telah memperdaya seorang wanita bagi mempercayai bahawa dia (tertuduh) boleh menguruskan pembelian tokek dari Filipina dan dengan curangnya mendorong mangsa membuat pembayaran RM8,050 pada 22 Oktober 2018 di sebuah restoran di Cyber City.

Tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Section 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak lebih daripada sepuluh tahun, dan rotan dan boleh juga dikenakan denda.

Menurut fakta kes, mangsa telah mengiklankan di internet untuk membeli tokek dan tertuduh telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah pembelian membeli tokek di Zamboanga Filipina.

Mangsa kemudiannya membuat bayaran RM8,050 dan tertuduh telah pergi ke Filipina pada 10 November, 2018 Tertuduh pulang pada 13 November 2018 namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa belum mendapat tokek yang dijanjikan.

Hasil siasatan turun mendedahkan tertuduh tidak pergi ke Filipina dan telah menggunakan duit tersebut untuk kegunaan sendiri.

Semasa rayuan, tertuduh meminta mahkamah untuk meringankan kes seringan-ringannya.

Inspektor Albert Basiri yang melakukan pendakwaan meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan memasuki negara tanpa permit yang sah. -NewSabahTimes

0 comments

Post a Comment