Sep 4, 2012

Bukit Dalam Laut

MENAKJUBKAN. Itu ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keunikan dan kekayaan alam di Taman Negara Bako, Sarawak.

FORMASI bukit batu yang menarik ini dikatakan berada di dasar laut jutaan tahun lalu.

Terletak 37 kilometer dari bandar raya Kuching, hutan ini diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1957 iaitu tahun yang sama negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.

Jaraknya yang tidak terlalu jauh dari pusat bandar raya menjadikannya lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Setiap tahun, dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 pelancong melawat taman negara ini.

Bagi penulis pula, ini merupakan kali kedua berkunjung ke situ. Kesempatan yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelajah bahagian yang belum diterokai lagi.

Babi hutan

Ditemani jurufoto, Fairuz Izyana Ayub dan pemandu pelancong yang mesra dengan panggilan Lenjoe, kami bergerak dari Kuching menuju ke Taman Negara Bako seawal pukul 7 pagi selepas masing-masing mengalas perut dengan mi sapi dan air teh cina, juadah sarapan yang menjadi kemestian di Bumi Kenyalang.

Sebaik sahaja sampai di Jeti Taman Negara Bako di Kampung Bako, kelihatan sudah ramai pelancong yang sedang beratur untuk menaiki bot.

Menurut Lenjoe, perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Nampak tak papan tanda amaran buaya itu?

"Di sungai ini memang banyak buaya, tetapi jangan risau, ia tidak mengganggu bot. Kalau bernasib baik, kita boleh lihat buaya berjemur di tebing sungai nanti," ujar Lenjoe, lelaki berketurunan Bidayuh ini.

Beberapa minit selepas bot meninggalkan jeti, muara sungai semakin lama semakin melebar. Air sungai yang keruh mula ditinggalkan. Begitupun, pemandangan yang sama masih kelihatan, iaitu rimbuan pokok bakau dengan akar berceracak yang menjadi pemegang tebing di kiri dan kanan sungai.

Jelas Lenjoe, istilah Bako yang menjadi identiti kawasan tersebut turut berasal daripada pokok bakau yang ada di kawasan itu.

"Orang Sarawak menyebut bakau sebagai 'bako'. Semasa penempatan pinggir laut ini mula dibuka ratusan tahun dahulu, pokok bakau memang banyak ditemui di sini," ujarnya.

Selain pokok bakau, pandangan mata pastinya tidak lari daripada melihat pancang-pancang kayu yang ditanam sama ada hampir dengan tebing sungai mahupun di tengah-tengah muara yang semakin melebar.

"Itu kawasan memukat udang. Setiap pancangan kayu itu ada tuannya sendiri. Kalau nak tahu, selain belacan Bintulu, belacan Bako juga terkenal di Sarawak," ujar Lenjoe yang merupakan penggemar belacan Bako.

Terkecil

Selepas 20 minit dilambung ombak, dataran kelabu Taman Negara Bako mula kelihatan. Untuk sampai ke destinasi, pengunjung perlu meranduk air separas lutut sebelum merentasi dataran kelabu yang terbentuk daripada padatan butiran pasir halus selama lebih kurang 15 minit.

"Berjalan di dataran pasir ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apatah lagi pemandangan di sini sangat menarik. Lihat sahaja cenuram bukit batu yang menghijau di sebelah kiri anda. Ia sungguh menakjubkan.

"Saya kira ini adalah permulaan yang baik untuk pengembaraan saya," ujar Ian Wedrick, seorang pelancong solo berusia 63 tahun dari New Zealand.

Tiba sahaja di pekarangan ibu pejabat Taman Negara Bako, sambutan ucapan selamat datang yang diterima para pengunjung juga sangat unik, malah mungkin ia hanya boleh ditemui di sini.

Jika anda membayangkan tarian gemalai daripada barisan penari jelita yang diiringi alunan merdu petikan sapeh, bayangan itu silap sama sekali kerana satu-satunya penyambut tetamu yang tidak pernah jemu mengalu-alukan kedatangan anda ke taman negara ini ialah babi hutan.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (Kawasan Perlindungan Bahagian Pemuliharaan dan Biodiversiti), Oswald Braken Tisen, bilangan babi hutan di Taman Negara Bako memang banyak.

"Di sini kami amalkan konsep mesra alam, mesra haiwan. Sungguhpun bilangannya banyak, babi hutan tidak suka bercampur dengan manusia.

"Hanya tiga empat ekor yang suka muncul di khalayak umum seperti yang anda lihat hari ini. Ia juga sudah jinak dan tidak pernah menyerang manusia. Jika ada pengunjung yang kurang selesa, mereka boleh menghalaunya," ujar Oswald.

Beliau menjelaskan, taman negara tersebut merupakan yang tertua di Sarawak.

"Mempunyai keluasan 27 kilometer persegi, ia adalah taman negara terkecil di Asia Tenggara. Sungguhpun saiznya kecil, hampir keseluruhan spesies flora di Kepulauan Borneo yang merangkumi Sarawak dan Sabah, Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia, boleh ditemui di sini," katanya.

Bukit dalam laut

Selain itu, jelas Oswald, taman tersebut turut merekodkan 316 spesies tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang berdarah sejuk, 57 spesies mamalia termasuk monyet proboskis atau monyet belanda.

TUNGGUL laut ini menjadi identiti Taman Negara Bako.

"Kalau bernasib baik, anda boleh terserempak dengan ikan lumba-lumba di perairan taman negara ini," ujarnya.

Tidak hanya itu, banyak lagi haiwan lain yang boleh ditemui di taman ini termasuklah biawak, memerang dan tupai.

"Keunikan lain di Taman Negara Bako, ia mempunyai tujuh ekosistem lengkap iaitu tumbuhan pantai, tumbuhan cenuram, hutan kerangas, hutan bakau, hutan diteroka campuran, padang rumput dan hutan paya gambut.

"Kepelbagaian biologi seperti ini membuktikan kekayaan yang terdapat di taman ini," ujarnya.

Menyediakan jumlah trek yang banyak, Taman Negara Bako memudahkan penjelajahan denai dengan memberi rundingan dan panduan serta membekalkan peta trek secara percuma di ibu pejabat taman negara yang terletak di Teluk Assam.

Trek terpanjang di taman ini ialah sejauh 10.5 kilometer yang menuju ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek merupakan trek ke Tanjung Sapi dengan jarak 800 meter.

Mengambil keputusan untuk menyusuri trek menunju Telok Pandan Kecil sepanjang 2.5 kilometer, laluan yang ditanda dengan cat kuning ini tidak kurang mencabarnya.

Berjalan di atas pelantar kayu yang didirikan di kawasan hutan bakau, trek akan melewati kawasan hutan yang muka buminya agak mencanak dan dipenuhi akar pokok, batu dan pasir.

Penjelajahan diteruskan dengan mendaki bukit setinggi 500 meter dari aras laut. Ketahanan fizikal teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira 1.3 kilometer.

"Tahu tak anda sedang berjalan di atas apa sekarang?" tanya Lenjoe.

"Pastinya tanah berbukit," jawab saya.

"Anda salah. Apa yang kita daki dari tadi bukanlah tanah, sebaliknya campuran batu, pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu yang berselirat.

"Kalau tak percaya, cuba hentakkan kaki. Permukaannya lembut seperti span bukan?"

"Memandangkan kawasan ini dipenuhi pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu, andainya taman negara ini terbakar, hutan ini memerlukan 1,000 tahun lagi untuk jadi seperti sekarang," katanya.

Penjelasan lelaki yang sudah berbelas tahun menjadi pemandu pelancong ini menambah keterujaan kami untuk terus mendaki walaupun ketika itu nafas sudah mula mengah.

PERJALANAN menaiki bot dari Kampung Bako mengambil 
masa 20 minit untuk sampai ke Taman Negara Bako.

Tiba di kawasan bukit batu, Lenjoe memberitahu, 100 juta tahun lalu, batu itu letaknya di dalam laut.

"Ia dapat dibuktikan dengan tanda hakisan yang memanjang ini. Hampir setiap inci permukaan bukit ini mempunyai tanda hakisan yang sama.

"Mengikut kajian, batu bukit ini mengandungi batu, silika dan ferrous oksida. Kalau nak tahu, pada zaman dahulu, orang menjadikan ferrous oksida ini sebagai senjata," ujarnya lagi.

0 comments

Post a Comment