Sep 1, 2012

Pedalaman Telah Banyak Berubah - Pairin

TAMBUNAN: Taraf hidup di kawasan pedalaman telah banyak berubah dengan kemajuan dan pembangunan yang ketara berlaku termasuklah perubahan taraf sosial penduduk.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, satu ketika dulu beliau pernah berjalan kaki selama 12 jam dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Malahan kata Pairin, beliau dan rakan-rakannya juga turut merasai kesejukan (bermalam) di perkampungan pedalaman namun tetap tabah dalam menjalankan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Saya memainkan peranan saya demi rakyat yang telah memberikan saya kepercayaan dan tanggungjawab untuk membawa seberapa banyak kemajuan dan perubahan,” kata Pairin yang juga Wakil Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tambunan.

Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tinompok di sini.

“Dari dulu dan sekarang saya sentiasa berusaha dan mencari jalan meningkatkan orang kita, kerana kita tahu dan faham keadaan dan kedudukan orang kita” kata Pairin.

Menurutnya, kemajuan dan perubahan telah berlaku seiring dengan masa yang dibawa oleh kerajaan yang memerintah.

“Kini kita mempunyai jalan raya yang baik, kita melihat ada rumah-rumah baru yang dibina, kebun-kebun pun bertambah luas, ini adalah petanda adanya pasaran (kebun) dan pendapatan di kalangan masyarakat kita,” ujar Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau.

Hadir sama di majlis itu ialah Setiausaha Politik beliau, Willfredoline Jakil, Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Laiwon Dalus, serta Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Daniel Kinsik, Ketua Daerah, Agustin Kandawai, Ketua Wanita PBS Bahagian, Paula Domian dan Ketua Pergerakan Pemuda, Silverius Bruno.

Menurut Pairin dibanding di masa lalu penduduk di pedalaman lebih banyak menggunakan binatang (kerbau) atau berjalan kaki untuk mengunjungi saudara mara, namun masa kini situasi itu telah jauh berbeza kerana pemimpin yang dipilih menjiwai hati nurani rakyat dengan membawa perubahan positif kepada kawasan Tambunan.

“Namun tidaklah boleh dikatakan tidak ada masalah kerana tetap ada kekurangan, sebab itulah kita terus berusaha dan mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat,” kata Pairin.

Di majlis itu Pairin turut diraikan sempena ulang tahun beliau yang ke 72 tahun, bersama dengannya Puan Seri Genieva Kitingan.

“Saya tidak pernah lari dari parti, saya tidak pernah lari dari kamu (rakyat) kerana kekuatan kamu adalah kekuatan saya, begitu juga dengan kerjasama kita sebagai satu pasukan memberi tenaga dan kekuatan,” katanya.

Di majlis itu Pairin menyerahkan sumbangan zink kepada 54 pemohon serta meluluskan beberapa projek di kampung berkenan serta melancarkan penyerahan Tangki 1Malaysia untuk Mukim Toboh melibatkan 15 kampung (239 tangki). - NewSabahTimes

0 comments

Post a Comment