Nov 5, 2018

Subkhiddin Letak Jawatan!

Kalau melibatkan keluarga saya tidak mampu bertahan lagi." Itulah luahan Subkhiddin Mohd. Salleh yang mengumumkan keputusan meletak jawatan sebagai Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dibuat selepas dikecam teruk hingga membabitkan ahli keluarganya susulan mutu pengadilan yang diketuai Suresh Jayaraman pada aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Tambahnya, dari awal sebab utama dia memegang jawatan ini hanya dengan satu matlamat iaitu memberi sumbangan yang terbaik kepada bola sepak negara dan sekiranya tidak dihargai lagi maka sudah tibanya masa untuk undurkan diri.

“Saya OK tapi bila balik rumah anak-anak tunjuk komen-komen di Facebook saya rasa tersentuh, terutama yang berkata tentang bapak saya yang telah meninggal, selain maki nama saya. Saya rasa sudah cukup.

“Dulu semasa saya jadi pengadil, saya ada satu kekuatan untuk mencapai kejayaan contohnya pergi ke Piala Dunia dan saya mampu terus berjuang tetapi kini bila anak-anak sudah besar dan bapak sudah tiada, saya rasa sudah tiba masanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

“Saya nak sumbangkan segalanya yang terbaik untuk bola sepak negara tetapi bila tidak dihargai sebegini saya minta maaf. Itu prinsip saya,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subkhiddin menegaskan kepada netizen yang masih belum mengetahui bahawa menjadi exco atau Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM tidak menerima sebarang gaji.

“Ada dalam komen netizen kata saya makan gaji buta, saya pun tidak faham. Makan gaji buta dekat mana sedangkan exco tidak dapat gaji, kita buat kerja sebagai sumbangan ikhlas,” ujarnya.

Subkhiddin, 52, yang mula bertugas sebagai pengadil di bawah FAM pada 1996 sebelum dilantik pengadil FIFA pada 2000 mengakui terdapat ramai lagi bekas-bekas pengadil yang berwibawa, selain dirinya.

“Saya percaya dalam Malaysia bukan saya seorang terbaik, ramai lagi bekas-bekas pengadil FIFA dan individu yang cemerlang boleh buat. Mungkin mereka mampu beri yang lebih baik,” jelasnya. -UTUSAN

0 comments

Post a Comment