May 9, 2013

Pengundi Di DUN Kiulu Di Seru Kembali Bersatu

TUARAN, 8 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu yang baharu Datuk Joniston Bangkuai menyeru penduduk Kiulu, termasuk penyokong parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini, kembali bersatu dan menjalin perkongsian strategik bagi menangani pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu.


Bangkuai, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah, berkata meskipun pelan pembangunan untuk Kiulu sudah ada, beliau sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang cadangan demi kebaikan kawasan itu.

"Majoriti tipis (untuk calon Barisan Nasional (BN) di Kiulu) bukanlah alasan untuk tidak bekerja keras, sebaliknya ia mendorong kami melipatgandakan usaha membangunkan Kiulu," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam hal ini, Bangkuai menggesa penduduk Kiulu bekerja bersama-sama beliau untuk membawa kawasan itu ke tahap lebih tinggi.

"Terima kasih 'Tulun tokou Kiulu', terutama penyokong dan tukang kempen BN, yang terus menyokong serta mengundi BN meskipun berdepan serangan pembangkang... Kami akan terus bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, Bangkuai memenangi kerusi DUN Kiulu dengan majoriti 44 undi.

-BERNAMA

0 comments

Post a Comment