Aug 6, 2015

Kes MH370 Jadi Bahan Kutuk PM, Mana Simpati Pada Mangsa?

Awal pagi tadi, masyarakat seantero dunia terpaksa menelan kenyataaan bahawa pesawat malang MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak 8 Mac 2014 sememangnya telah mengakhiri perjalanannya di Lautan Hindi.


Kepastian itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media kira-kira jam 2 pagi.

Walaupun pada 29 Januari lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengisytiharkan kesemua nyawa dalam perut pesawat itu terkorban mengikut piawai lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago, namun situasi kali ini berbeza sama sekali kerana ia dibuat berdasarkan penemuan serpihan sayap pesawat berupa flaperon.

Lantas, harapan keluarga dan rakyat Malaysia untuk sekali lagi bersua dengan mangsa-mangsa penumpang dan anak kapal semakin tipis, kelam dan kabur.

Walau bagaimanapun, sedang sebahagian besar rakyat Malaysia melimpahkan rasa dukacita terhadap kes berkenaan, ada segelintir manusia langsung tidak memiliki nurani luhur dan menggunakan senario tersebut untuk terus-terusan mempolitikkan atmosfera sedia ada.

Entah apa yang berlegar dalam fikiran mereka sehingga tegar menjadikan pengumuman tersebut sebagai peluru untuk menembak Najib dengan isu dana derma berjumlah RM2.6 bilion yang disalurkan individu dari Timur Tengah ke dalam akaun peribadinya.

Nah, anda baca status serta komen di laman Twitter yang dilontarkan mereka-mereka ini dan nilaikan sendiri kewajaran tindakan tersebut!


Dalam emosi berkabung setiap rakyat kini, seharusnya tolak tepi dahulu isu yang mengaitkan Najib dengan wang yang kononnya bersumberkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Bukanlah terus melupakan siasatan untuk mencari kebenaran dalam kes berkenaan, tetapi apa relevannya dengan insiden MH370 ini?

Malah lebih biadab lagi, ada pengguna yang menuduh tragedi tersebut sebagai ‘bala’ yang diturunkan Allah S.W.T terhadap Najib.

Tak bolehkah andai individu-individu tersebut menzahirkan secebis rasa simpati terhadap ahli keluarga dan sahabat handai penumpang pesawat yang sedang meratapi kesahihan itu?

Dan adakah apabila terus menghujani tuduhan terhadap Najib dengan isu MH370, ia dapat membantu menyelesaikan misteri kehilangannya? Ya, sudah tentulah tidak!

Falsafah Inggeris ada menyebut, ‘if you don’t have anything nice to say, don’t say anything at all.’

Lebih dari itu lagi, hormatilah perasaan hiba seorang ibu mahupun isteri yang menanti kepulangan anak dan suaminya serta hilangnya kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.

Hari ini mungkin hari dia, tapi entah esok lusa tiba giliran kita pula? -Mynewshub

0 comments

Post a Comment