Aug 17, 2015

Pemuda Umno Tampin Desak Najib Letak Jawatan

Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Tampin semalam sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Najib Letak Jawatan

Usul tergempar itu yang diketengahkan oleh Ketua Pemuda cawangan Kampung Ulu Ladang, Azman Abdullah itu dan mendapat "sambutan positif" daripada majoriti lebih 200 ahli yang hadir, lapor Sinar Harian Online hari ini.

Laporan itu menyebut, Azman berkata usul tergempar itu dibawa ekoran pelbagai isu timbul membabitkan integriti Najib seperti isu dakwaan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya dan isu firma pelaburan 1MDB.

Dalam laporan itu menyebut, usul itu berbunyi: “Demi Melayu, Islam dan Malaysia, meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno agar keyakinan, cinta dan kasih sayang, khasnya orang Melayu dan Bumiputera, terhadap Umno dapat dipulihkan untuk memastikan kita orang Melayu sebagai pemilik negara tercinta ini terus menjadi pemerintah sampai bila-bila".

Akhbar itu juga melaporkan, sebaik usul itu dikemukakan, Pengerusi Tetap mesyuarat, Mohd Salleh Yahaya bertanyakan kepada perwakilan berhubung usul itu dan kemudian perwakilan sebulat suara menyokong.

Usul Pemuda Umno Tampin itu adalah yang paling keras terhadap Najib setakat ini.

Sebelum ini, beberapa bahagian yang kecewa dengan Najib hanya meluluskan dengan meminta beliau menjelaskan isu 1MDB atau mengambil cuti.

Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan menyiasat dan meminta penjelasan dari ketua Pemuda Umno Tampin berhubung usul Azman dalam mesyuarat perwakilan semalam yang meminta Najib meletak jawatan.

"Saya dimaklumkan ia adalah usul tergempar sebuah cawangan di Tampin dan bukannya pendirian Pemuda UMNO Tampin...biasalah dalam mesyuarat perwakilan kita (pemimpin) terpaksa berdepan dengan pelbagai usul termasuk berbentuk kritikan dan pedih tetapi tidak bermakna ia pendirian Pemuda Umno Tampin," katanya lapor Malaysiakini.

0 comments

Post a Comment