SHAH ALAM –Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini tampil melalui satu klip video memberi penjelasan mengenai kegagalan beliau untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya bagi memberi ketetangan kepada pihak polis.
Menerusi klip video berdurasi 7:37 saat itu, Jamal menjelaskan bahawa beliau merasa bimbang untuk hadir bagi memberi keterangan seperti yang dijanjikan sebelum ini susulan daripada tindakan polis yang menyerbu rumah dan pejabatnya.
“Kediaman ibu saya serta rakan-rakan turut diserbu dan ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini walaupun saya telah berjanji semalam.
“Saya melihat satu demi satu (tuduhan) seolah-olah tidak mahu lepaskan saya.
“Saya bimbang bila mereka dapat pegang saya, saya tak ada lagi peluang untuk bersama-sama dengan masyarakat luar bagi menyuburkan lagi sistem demokrasi di negara ini sebagai seorang ahli politik,”katanya.
Terdahulu, peguam Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata pihaknya telah menunggu anak guamnya itu sejak pagi tadi bagi membantu beliau untuk menyerahkan diri kepada polis namun Jamal gagal untuk tampil seperti yang dijanjikan.
Sebelum ini, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam pada tahun lalu.
Menjelaskan mengenai insiden itu, Jamal berkata tindakan beliau memecahkan botol arak itu adalah sebagai tanda protes kepada Kerajaan Selangor kerana ingin menganjurkan pesta arak di negeri ini.
“Apa yang saya lakukan adalah bersifat politik. Saya bukan penyamun atau penjenayah. Saya hanya pemimpin politik dan ingin mendedahkan mengenai apa yang berlaku di dalam kawasan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Jamal turut menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassindapat memberi jaminan agar seorang pemimpin politik tidak akan dizalimi oleh mana-mana pihak dalam menjatuhkan hukuman.
“Saya bukannya penjenayah tapi saya diperlakukan seperti penjenayah.
"Jadi bagaimana kita nak suburkan sistem demokrasi dalam negara ini sedangkan pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat menjalankan sistem kuku besi,”katanya.
Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) pada hari ini juga turut disaran agar tidak terlalu bermotifkan politik dendam dan sewajarnya menggunakan mandat sebaiknya bagi memakmurkan serta mensejahterakan rakyat.
0 comments
Post a Comment