PARIS – Sebuah kumpulan pekerja yang dipanggil untuk merobohkan sebuah rumah usang di barat Perancis menemui sejumlah wang emas pada minggu lalu.
Pekerja-pekerja itu menemui sebuah bekas plumbum di rumah tersebut di bandar Pont-Aven, rantau Brittany dan menyangka ia kelongsong artileri era Perang Dunia Ke-2.
Namun apabila menggoncangnya, mereka mendengar bunyi duit syiling berlaga, kata ketua syarikat pembinaan Bat’isol, Laurent Le Bihan kepada agensi berita AFP semalam.
Pekerja-pekerja itu menemui 600 keping syiling emas Belgium berasal dari tahun 1870 dan tertera wajah Raja Leopold II yang memerintah dari tahun 1856 hingga 1909.
Nilai harta karun itu yang diserahkan kepada polis masih tidak dapat dipastikan.
Namun, berdasarkan jumlah yang biasa dibayar untuk syiling sedemikian, wang emas itu dipercayai bernilai lebih AS$118,000 (RM470,644), lapor akhbar Perancis, Ouest-France.
Di bawah undang-undang Perancis, hasil jualannya perlu dibahagi sama rata antara pihak yang membuat penemuan dan tuan tanah di mana penemuan itu dilakukan. –AFP
0 comments
Post a Comment