HONG KONG – Mata wang kripto menjunam di Asia semalam berikutan perbuatan menggodam sebuah bursa di Korea Selatan mencetuskan kebimbangan pelabur mengenai keselamatan syiling digital tersebut.
Serangan ke atas bursa Coinrail itu berlaku beberapa bulan selepas firma Jepun, Coincheck mengumumkan kerugian lebih AS$500 juta (RM1.9 bilion) akibat serangan siber pada Januari lalu.
Coinrail tidak menyebut nilai mata wang yang lesap dalam serangan pada hujung minggu lalu, namun berkata, ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pembangun syiling digital lain untuk mengesan pihak bertanggungjawab.
Firma itu yang memperdagangkan lebih 50 mata wang kripto menambah, pihaknya membekukan semua syiling digital yang terdedah termasuk Fundus X, Aston dan Enper, manakala unit lain berada dalam ‘dompet sejuk’.
Berita serangan siber itu mendorong mata wang kripto menjunam dengan bitcoin susut sekitar 12 peratus dan ripple jatuh hampir 20 peratus selepas peniaga bimbang tentang keselamatan pelaburan mereka.
“Pelabur panik apabila ada individu mula menjual pegangannya,” kata penganalisis pasaran daripada firma OANDA, Stephen Innes.
Mata wang kripto menjunam sejak akhir 2017 apabila bitcoin mencecah paras tertinggi hampir AS$20,000 (RM79,740) selepas melonjak daripada kurang AS$1,000 (RM3,987) 11 bulan sebelumnya. – AFP
0 comments
Post a Comment