Jun 12, 2018

Amerika Setuju Kembalikan Aset Dirampas Dari 1MDB

Aset yang dirampas daripada 1MDB akan digunakan untuk menjana pendapatan dan dikembalikan kepada Malaysia secepat yang mungkin, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian menerusi akaun Twitter selepas mengadakan mesyuarat dengan Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pihak membincangkan perkara penting berkaitan pelaburan dan firma AS yang besar di Malaysia.

“Beliau (Kamala Shirlin) memberi jaminan kepada saya bahawa aset yang dirampas daripada 1MDB akan digunakan untuk menjana pendapatan dan dikembalikan kepada Malaysia secepat yang mungkin,” katanya.

Sejak melaporkan diri sebagai menteri kewangan pada 22 Mei, Lim mendedahkan bahawa kerajaan mengeluarkan wang, berjumlah RM6.9 bilion untuk membayar hutang 1MDB sejak April 2017.

Beliau juga memaklumkan bahawa negara mempunyai hutang sebanyak RM1 trilion setakat 31 Dis, 2017 yang termasuk RM686.8 bilion hutang kerajaan Persekutuan dan RM199.1 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan yang akan dibayar bagi mewakili entiti yang gagal membayar hutang mereka. -bernama

0 comments

Post a Comment