Altanshagai Munkhtulga hanya berumur tiga tahun ketika ibunya, Altantuya Shaariibuu, Mongolia, dibunuh di pinggir Kuala Lumpur pada tahun 2006.
Kini, 12 tahun kemudian, Altanshagai, yang lumpuh dan tidak mampu berjalan selepas sakit semasa zaman kanak-kanak, masih tidak diberitahu mengenai kematian ibunya.
Datuknya, Setev Shaariibuu, sepanjang 12 tahun lalu memberitahunya bahawa ibunya masih hidup.
"Selama 12 tahun lalu, saya sentiasa membeli gula-gula untuknya, dan berkata ia pemberian daripada ibunya," kata Setev menerusi penterjemah semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, abang Altanshagai, Mungunshagai Bayarjargal, 20, tahu tentang pembunuhan kejam ke atas ibu mereka itu.
Setev menyifatkan Mungunshagai sebagai individu yang muram.
"Dia agak senyap di rumah, dia tidak banyak bercakap, dia akan keluar rumah awal dan pulang lewat," kata Setev.
Altantuya, 28, ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan plastik kelas tentera di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006.
Setev berkata Altantuya sepatutnya berada di rumah dan hidup bahagia dengan anak-anaknya.
"Takdirnya sepatut seperti itu, malangnya, anak saya jadi mangsa ahli politik," katanya dengan sedih. -malaysiakini
0 comments
Post a Comment