CRISTIANO Ronaldo telah membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan Real Madrid pada musim panas ini.
Keputusan itu dibuat selepas Ronaldo dipercayai berang dengan tindakan pengurusan tertinggi Real Madrid yang mungkir janji mengenai tawaran dalam kontrak baharunya.
Akhbar Portugal, Record mendakwa ejen Ronaldo, Jorge Mendes telah dimaklumkan oleh Pengurus Besar Real, Jose Angel Sanchez bahawa tuntutan bintang Portugal itu tidak dapati dipenuhi semasa rundingan pembaharuan kontraknya diadakan.
Malah hubungan Ronaldo, 33, dengan Presiden Florentino Perez juga didakwa sudah berantakan.
Selain itu, keputusan Ronaldo itu turut didorong oleh tindakan Real yang ingin membawa masuk Neymar dari Paris Saint-Germain.
Malah, Ronaldo melihat usaha Real untuk membawa masuk Neymar sebagai rancangan untuk menggantikan dirinya di dalam pasukan itu.
Bukan itu sahaja, Ronaldo juga kecewa dengan peletakan jawatan Zinedine Zidane.
Ronaldo amat rapat dengan Zidane yang meletak jawatan sebagai pengurus Real minggu lalu.
Kontrak semasa Ronaldo akan berakhir pada Jun 2021.
Punca Zidane letak jawatan didedah
KEPUTUSAN Zinedine Zidane meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid amat mengejutkan ramai pihak.
Terbaharu The Sun melaporkan, punca peletakan jawatan Zidane adalah kerana dia bertengkar dengan Presiden Real, Florentino Perez berhubung polisi perpindahan Eden Hazard dan David de Gea.
Selepas memacu Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara kali ketiga dengan menundukkan Liverpool 3-1 pada aksi final 27 Mei lalu, Zidane tiba-tiba membuat keputusan angkat kaki.
Perez mengakui keputusan Zidane sesuatu yang tidak dijangka manakala pengendali kelahiran Perancis itu enggan mendedahkan punca dia meletak jawatan.
The Sun mendakwa Zidane dan Perez bertengkar pada petang sebelum bekas legenda Perancis itu mengumumkan peletakan jawatannya.
Menurut laporan itu, Zidane meminta Perez supaya membawa masuk Hazard tetapi Perez enggan mengikut kehendaknya.
Malah Perez turut memaklumkan kepada Zidane bahawa beliau mahu mendapatkan khidmat De Gea.
Namun Zidane lebih berminat untuk mengekalkan Keylor Navas.
Zidane akhirnya menamatkan pertengkaran itu dengan berkata kepada Perez, "Saya sudah selesai. Anda ambil tugas jaga pasukan."
Madrid masih belum melantik pengurus baharu dan dijangka mahu mendapatkan khidmat pengurus Hoffenheim, Julian Nagelsmann.
Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino turut dalam senarai pendek meskipun pengendali berusia 46 tahun itu baharu sahaja menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Spurs. -mstar
0 comments
Post a Comment