Jun 13, 2018

Dua Anggota Polis Sukarelawan Tidak Mengaku Rogol Dan Cabul

KOTA BHARU - Dua anggota polis Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) tidak mengaku salah di mahkamah sesyen dan majistret, atas dakwaan rogol serta cabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Rosli, 23, didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun dua bulan, di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, 4 Jun 2018.

Dakwaan dibuat di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor di mahkamah sesyen.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Sementara di mahkamah majistret di hadapan Majistret, Kamarul Hasyime Rosli, Mohd Zakiman tidak mengaku didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar dan Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam Shahruddin Mohamed. -sinar online

0 comments

Post a Comment