Jun 11, 2018

Kemarau Pingat 4x400m 30 Tahun Berakhir

KEMARAU 30 tahun kem olahraga negara untuk memenangi pingat dalam acara 4x400 meter (m) lelaki pada peringkat remaja Asia akhirnya terlerai dalam saingan hari terakhir Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Stadium Nagaragawa Gifu, Jepun.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil berdiri atas podium untuk acara 4x400m lelaki ialah pingat perak sewaktu pe­nganjuran edisi kedua Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Singapura pada 1988.

Sejarah itu kini tercipta semula oleh kuartet 4x400m dibarisi empat pelari iaitu Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi, Muhd. Saiful Safwan Saifuddin dan Abdul Wafiy Roslan dengan catatan masa tiga minit 09.60 saat (s).

Jurulatih pecut skuad olahraga negara, Mohd. Poad Kassim bangga dengan kejayaan kuartet 4x400m yang terpaksa akur tewas dengan kehebatan pemenang pingat emas serta perak iaitu Sri Lanka dan Thailand.

“Alhamdulillah kami berjaya meraih pingat dalam acara 4x400m. Kejayaan ini seperti satu mimpi kerana ia benar-benar terjadi walaupun bukan pingat emas.

“Pingat gangsa juga sudah satu pencapaian membanggakan dan saya berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan ditunjukkan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Lebih menarik, catatan 3:09.60s itu turut memecahkan rekod 4x400m remaja Malaysia, 3:12.45s dilakukan kuartet Patrick Khoo Ghee Wong, Edward Jaipal, John Petruse dan Sean Paul di Singapura pada 1988.

Kuartet Sri Lanka iaitu Pabasara Niku, Pasindu Kodikara, Indrajith Ravishka dan Aruna Dharshana menang dengan masa 3:08.70s, menewaskan Thailand (Potchara Petchkaew, Thipthanet Sripha, Yanakorn Munrot dan Phitchaya Sunthonthuam) yang mencatatkan 3:09.20s.

Sebagai rekod, dua pingat gangsa diraih kali ini lebih rendah berbanding pungutan yang dikutip pada edisi dua tahun lalu di Ho Chi Minh, Vietnam dengan tiga emas, tiga perak dan satu gangsa serta gelaran raja pecut remaja Asia milik Khairul Hafiz Jantan. -kosmo

0 comments

Post a Comment