Jun 14, 2018

‘NAJIB PERLU HENTI KELIRUKAN RAKYAT ISU HUTANG SEBENAR NEGARA’

Menteri Kewangan Lim Guan Eng membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mendakwa beliau cuma mengelirukan orang awam berhubung hutang negara.

Najib merujuk laporan Moody’s Investors Service dan sekali lagi menuduh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sengaja menokok-tambah hutang negara sehingga mencecah RM1 trilion.

Mengulas perkara itu, Lim menafikan pihaknya sengaja menokok tambah hutang negara dan mengulangi bahawa angka RM1 trilion adalah dari gabungan jumlah hutang dan liabiliti.

“Tidak seperti apa yang dikatakan bekas perdana menteri hari ini, Moody ada menyatakan hutang langsung kerajaan adalah RM687 bilion. Kita tak pernah nafikan ini.

“Tapi kita ambil kira jaminan kerajaan yang juga sudah menjadi hutang secara langsung kerana orang yang kita jamin tak mampu bayar,” jelasnya.

Justeru, Lim menasihatkan agar tidak “bersembunyi di sebalik definisi hutang” bagi menutup keadaan sebenar ekonomi negara.

“Saya kesal bekas menteri kewangan masih tidak mahu mengakui hakikat ini.

"Saya harap janganlah cuba menegakkan benang yang basah dengan cuba mengatakan hutang negra tidak sebegitu teruk.

“Kalau bunga mawar, kita mesti panggil buka mawar. Janganlah cuba alihkan perhatian dengan mengatakan bukan-bukan.

“Kita perlu mengakui masalah sebenarnya agar kita dapat mengatasinya,” katanya.

Lim berkata demikian selepas program sempena sambutan Hari Raya di Seri Kembangan malam ini. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment