Jun 18, 2018

Neelofa, Vivy Suarakan Kebimbangan Barangan Tiruan Jejas Usahawan Tempatan

KUALA LUMPUR - Usahawan selebriti Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi membendung barangan ciplak dan tiruan yang berleluasa ketika ini.

Ketika hadir di Menara Ilham bagi mewakili usahawan ke mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini, pengasas jenama Naelofar Hijab itu berkata, penguatkuasaan haruslah bersifat menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi yang terlibat.

"Terdapat banyak sangat sasaran pendua yang disediakan di luar sana tapi tidak ada outcome kualit.

"Jadi perjumpaan hari ini saya banyak kongsikan daripada perspektif perniagaan saya dan masalah dalaman dalam Naelofar Hijab.

"Sebagai contoh produk tiruan yang kita hadapi. Kami pernah bekerjasama dengan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Kastam tapi kosnya sangat tinggi bagi kita untuk terus mengatasinya jadi saya mencadangkan kepada majlis mungkin bila kita buat laporan mereka boleh bekerjasama  dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk tutup semua akaun ke atas mereka yang jual barangan tiruan," katanya.

Neelofa juga mahu kerajaan mempermudahkan proses pinjaman perniagaan dengan menyediakan proses dokumentasi dan informasi yang secukupnya di bawah satu bumbung.

"Saya berharap apa yang mereka struktur semula nanti akan menyenangkan dan membolehkan ramai usahawan Malaysia meneroka pasaran lebih luas dan boleh pergi ke peringkat global dengan lebih senang sebab sebelum ini keadaannya sangat teruk.

"Kita tidak tahu di mana usaha seterusnya dan apa yang perlu dilakukan seterusnya kerana tidak ada panduan daripada agensi-agensi ini.

"Jadi saya berharap selepas ini semuanya akan jadi lebih baik dan lebih mudah bagi kami," katanya.

Sementara itu, pengasas FashionValet and dUCK Group, Datin Vivy Sofinas Yusof atau Vivy Yusof berkata, pihaknya juga berdepan masalah barangan tiruan terutama dari Vietnam dan China.

Justeru, beliau mahu agensi penguat kuasa terutama kastam mencari jalan penyelesaian bagi membendung perkara itu kerana barangan tiruan dan ciplak itu boleh memberi kesan kepada perniagaan tempatan untuk berkembang dengan baik. -Bernama

0 comments

Post a Comment