Jun 15, 2018

Telefon Bimbit Meletup Punca Kematian CEO Cradle Fund

KUALA LUMPUR - Sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil yang meletup semasa sedang dicas mungkin menjadi punca kebakaran sebuah bilik tidur semalam yang mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan.

Mesej daripada keluarga Allahyarham Nazrin yang kini tular dalam media sosial memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa pada suatu peringkat telefon itu terlampau panas lalu dan meletup mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

"Tilam turut disambar api namun ketika ini Nazrin sudah pun tidak bernyawa," kata ipar Allahyarham yang namanya tidak disebut dalam mesej berkenaan.

“Beliau ada dua telefon, satu Blackberry dan satu Huawei. Saya tidak tahu mana satu yang meletup.

"Siapa sangka prosedur rutin yang tidak berbahaya ini adalah penyebab tiga anak kecil membesar tanpa bapa mereka di sisi,” katanya.

Menurut polis, Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara semalam dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur. -Bernama

0 comments

Post a Comment