Jun 18, 2018

Tiga Maut Gempa Bumi Kuat Di Osaka

TOKYO - Seramai tiga orang disahkan terbunuh termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dan lebih 10 lagi cedera selepas satu gempa bumi kuat berlaku di wilayah Osaka, barat Jepun pagi ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri Pengurusan Bencana Jepun, Hachiro Okonogi berkata, terdapat sejumlah orang ditimbus oleh runtuhan bangunan yang runtuh menyebabkan pegawai-pegawai penyelamat tempatan berusaha untuk menyelamatkan mereka.

Menurut media tempatan, beberapa laporan mengenai kebakaran dan paip pecah berikutan gempa bumi itu manakala sebilangan orang dipercayai terperangkap di dalam lif.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, gempa bumi sekuat 6.1 magnitud menggegarkan Osaka pada pukul 7.58 pagi waktu tempatan.

Menurut syarikat Bekalan Elektrik Kansai, lebih 170,000 rumah di Osaka dan wilayah Hyogo terputus bekalan elektrik.

Sementara itu, syarikat Gas Osaka berkata, pihaknya telah menggantung bekalan gas kepada kira-kira 108,000 isi rumah di Osaka sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran.

Menurut Kementerian Pengangkutan, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dan tren tempatan di wilayah tersebut digantung.

Beberapa pegawai berkata, perkhidmatan komuter dan tiga lapangan terbang di wilayah sama turut mengalami gangguan.

Pusat gempa bumi itu terletak pada kedudukan latitud 34.8 darjah ke utara dan longitud 135.6 darjah ke timur dengan kedalaman 10 kilometer, menurut sebuah agensi kaji cuaca Jepun.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberitahu wartawan, kerajaan akan melakukan usaha untuk menangani kesan gempa bumi itu. - Bernama

0 comments

Post a Comment