KAZAN - Hajat Argentina untuk mengulangi pencapaian mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut hancur berkecai selepas tewas tipis 3-4 kepada Perancis pada perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik edisi 2018 di Kazan Arena, Kazan, Rusia malam ini.
Dua jaringan pemain muda, Kylian Mbappe dan satu gol masing-masing daripada Antoine Griezmann serta Benjamin Pavard sudah cukup meranapkan terus impian Argentina meskipun juara dunia dua kali itu berjaya bangkit dari ketinggalan dan pada suatu masa mendahului 2-1 ke atas Perancis di babak kedua.
Gabriel Mercado seakan memberi harapan kepada penyokong Argentina apabila meletakkan pasukan No. 5 dunia itu di depan 2-1, namun jelas masih gagal menundukkan semangat juang pasukan No. 7 dunia, Perancis yang bangkit meledak tiga gol meskipun Sergio Aguero merapatkan kedudukan 3-4 pada minit kecederaan.
Sumbangan bintang Barcelona, Lionel Messi juga nampaknya masih belum cukup untuk mencipta kemenangan kedua buat skuad The Albiceleste itu setelah mara ke pusingan kedua ini dengan prestasi hambar dalam tiga perlawanan di peringkat kumpulan.
Sebaliknya Perancis yang memburu kejuaraan kedua, tampil lebih menyakinkan menerusi kualiti yang ada daripada pemainnya, terutama pemain sayap Paris Saint-Germain, Mbappe yang menyinar dalam pertemuan ini.
Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan dua gol dalam masa empat minit untuk meletakkan skuad kendalian Didier Deschamps selesa 4-2, sekali gus melangkah ke pusingan suku akhir kali kedua berturut-turut.
Argentina pula beraksi dengan baik pada edisi 2014 lalu di Brazil dengan mara ke final, namun terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 0-1 kepada Jerman dalam pertemuan yang dilanjutkan ke masa tambahan.
Perancis pula yang kali terakhir muncul juara ketika menjadi tuan rumah pada 1998, kini semakin hampir untuk menambah gelaran kedua hasil daripada kejayaan ini.
Mereka berjaya melepasi peringkat kalah mati pada edisi di Brazil empat tahun lepas, namun tumpas 0-1 di tangan Jerman.
Namun kemenangan dramatik ke atas wakil Amerika Selatan itu memberi peluang kepada mereka untuk menebus kegagalan di Brazil empat tahun lepas dengan dijadual bertemu pemenangan di antara Uruguay dan Portugal yang akan berlangsung awal pagi ini.
Pada aksi sebentar tadi, Kylian Mbappe menjadi duri dalam daging buat Argentina apabila kelincahan pemain sayap berusia 19 tahun ini berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat Perancis selepas dia dijatuhkan Marcos Rojo dalam kotak penalti.
Sepakan tersebut disempurnakan Antoine Griezmann pada init ke-13, sekali gus memberi kelebihan 1-0 kepada Les Bleus.
Perancis dilihat lebih banyak menguasai 20 minit pertama babak pertama dengan berjaya mematahkan gerakan Argentina di mana Lionel Messi seperti tidak kelihatan di atas padang kerana jarang menerima bola.
Namun, Argentina yang kali terakhir menjuarai Piala Dunia pada 1986, seakan mula mendapat rentak apabila mula menguasai 25 minit terakhir permainan babak pertama dengan beberapa asakan yang mula menembusi pertahanan Perancis diketuai Raphael Varane dan Samuel Umtiti.
Usaha mereka itu mula membuahkan hasil apabila pemain sayap Paris Saint-Germain, Angel Di Maria secara tiba-tiba merembat cantik bol di luar kawasan penalti pada minit ke-41, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1 buat skuad Albiceleste itu sebelum rehat.
Babak kedua pula menyaksikan kebangkitan Argentina apabila mendahului perlawanan buat pertama kali hasil jaringan pemain pertahanan Gabriel Mercado yang tertampan bola hasil rembatan Messi pada minit ke-48.
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Perancis kembali menyamakan kedudukan hasil rembatan cantik pertahanan kanan, Benjamin Pavard sembilan minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Mbappe sekali lagi menjadi penyelamat buat Perancis apabila kelincahan sekali mengucar-kacirkan pertahanan Argentina sebelum merembat masuk dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan pada minit ke-64 untuk kedudukan 3-2.
Tersentak dengan itu Argentina cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun dihukum oleh Mbappe pada minit ke-68, sekali gus dilihat menghancurkan harapan mereka.
Meskipun pemain gantian Aguero merapatkan jurang 4-3 pada minit kecederaan, situasi itu masih belum cukup membantu Argentina yang terpaksa akur pulang awal dalam kempen kali ini. -kosmo
0 comments
Post a Comment