Jul 20, 2018

ePROSES Bolehkan Pendaftaran Pertubuhan Lulus Dalam 5 Hari

Pelaksanaan sistem pendaftaran organisasi dalam talian eROSES membolehkan permohonan pendaftaran sesebuah pertubuhan kini diluluskan dalam tempoh lima hari.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Sabah Nelbon Tulis Missun berkata eROSES yang dilancarkan pada 2012 banyak membantu rakyat di negara ini yang sebelum ini perlu menunggu satu hingga tiga bulan untuk mendaftarkan pertubuhan mereka.

Satu hingga tiga bulan itu satu tempoh yang lama, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Taklimat Pengurusan Pertubuhan Bil 12, 2018, di sini hari ini.

Sementara itu, Nelbon berkata bilangan persatuan yang didaftarkan di negeri itu semakin meningkat, menunjukkan kesedaran berpersatuan dalam kalangan rakyat semakin tinggi.

Setakat ini sebanyak 4,021 buah persatuan aktif di negeri Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan dan berdaftar dengan RoS, katanya.

Beliau juga berkata setakat ini belum ada persatuan yang didaftarkan di Sabah dibatalkan pendaftarannya.

Nelbon turut menjelaskan pendaftaran parti politik hanya boleh dibuat di ibu pejabat RoS di Putrajaya. -Bernama

0 comments

Post a Comment