Jul 11, 2018

Jawatankuasa Ganti Konsultan Pantau Projek PAN Borneo

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah akan membentuk satu jawatankuasa bagi menggantikan konsultan yang dilantik sebelum ini bagi memantau perjalanan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata jawatankuasa itu, yang akan dianggotai jabatan dan agensi berkaitan dari kementeriannya serta Kementerian Kewangan Negeri, juga akan menstruktur semula pelaksanaan projek itu, khususnya dalam penganugerahan kontrak kepada kontraktor.

“Setakat ini, projek Pan Borneo diteruskan, dan ia (pelaksanaannya) akan diperhalusi.

“Kemungkinan juga kita akan menilai balik kontrak-kontrak yang diberikan kepada kontraktor yang sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan, sekiranya berlaku ketirisan ataupun ada harga-harga yang (ditawarkan) tidak berpatutan, kita akan buat penambahbaikan pada kontrak,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di sini kelmarin.

Peter turut musykil mengapa kementerian itu tidak dilibatkan bagi memantau projek itu di mana pemantauan sebelum ini dilakukan oleh konsultan dilantik melibatkan pembayaran kerajaan kepada konsultan itu lebih RM700 juta.

Selain itu, beliau berkata pampasan untuk pembayaran tanah penduduk di kawasan projek juga terlalu tinggi mencecah berbilion ringgit, sedangkan jajaran projek itu boleh menggunakan jalan-jalan sedia ada.

“Kenapa kita harus bazirkan wang rakyat untuk membeli tanah-tanah yang bersebelahan dengan jalan (sedia ada) tersebut?

“Kita akan pastikan (dalam penstrukturan semula projek) bahawa jalan yang sedia ada itu digunakan untuk mengurangkan kos,” katanya, sambil menambah penstrukturan semula projek itu dijangka boleh menjimatkan RM1 bilion.

Peter juga berkata kementeriannya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor yang tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan atau tidak menyiapkan kerja dalam tempoh yang diberikan.

Fasa pertama Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan 706km itu dilancarkan pada 2016 dengan 35 pakej kerja bernilai RM12.8 bilion. –Bernama

0 comments

Post a Comment