Jul 10, 2018

Semua Remaja Dan Jurulatih Berjaya Diselamatkan Dari Gua Thailand

Kesemua 12 orang remaja kelab bola sepak di Thailand dan jurulatih mereka berjaya dikeluarkan secara selamat dari gua Tham Luang Nang Non di Chiang Rai, lapor BBC.

Lapan orang remaja yang diselamatkan pada Ahad dan Isnin lalu sekarang berada di hospital dan sedang menerima rawatan.

Setiap mereka dikeluarkan dari gua itu oleh penyelam pakar.

Seorang doktor pasukan penyelamat dan tiga orang anggota tentera laut Thai yang berada di samping kumpulan remaja berkenaan masih berada di dalam gua lagi.

BBC juga melaporkan seramai 12 orang remaja dan jurulatih mereka terperangkap dalam banjir lebih dua minggu lalu.

Misi pasukan PBB

Ketua misi mencari dan menyelamat, Gabernor Chiang Rai Narongsak Osottanakorn dipetik BBC berkata operasi berkenaan merupakan "pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu".

Ia melibatkan sukarelawan dari United Kingdom, China, Myanmar, Laos, Australia, Amerika Syarikat, Japan dan beberapa negara lagi.

Pakar penyelam gua dari seluruh dunia meletakkan nyawa mereka dalam risiko dengan memasuki gua tersebut untuk menyelamatkan remaja dan jurulatih berkenaan.

Suasana gembira menyelubungi tapak gua itu sekarang, tetapi ramai yang mengenang Saman Gunan, bekas anggota tentera laut Thai yang meninggal dunia ketika misi menghantar bantuan tangki oksigen ke dalam gua berkenaan, lapor BBC.

Presiden FIFA, Gianni Infantino melalui surat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Jeneral Somyot Poonpanmoung pada 7 Julai lalu menjemput kumpulan remaja dan jurulatih itu ke Moscow untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018, jika mereka keluar dengan selamat dan berada dalam keadaan sihat untuk melakukan perjalanan.

Kelab 'Babi Hutan’ (Mu Pa)

“Kami berharap, mereka dapat disatukan semula dengan keluarga masing-masing pada hari-hari yang akan datang dan tahap kesihatan mereka membolehkan mereka melakukan perjalanan, FIFA gembira untuk menjemput mereka sebagai tetamu kami untuk menyaksikan final Piala Dunia 2018 di Moscow,” demikian menurut Infantino dalam surat tersebut.

Beliau berharap pemain berusia antara 11 dan 16 tahun dan jurulatih berusia 25 tahun daripada Akademi Bola Sepak 'Babi Hutan’ (Mu Pa) dapat menyertai FIFA di perlawanan akhir yang 'pastinya menjadi detik persahabatan dan sambutan yang indah’.

Final Piala Dunia 2018 akan berlangsung di Stadium Luzhniki, Moscow pada 15 Julai ini. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment