Aug 27, 2018

Harga Gula Turun 10 Sen

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penurunan harga gula sebanyak 10 sen bermula 1 September ini.

Pengumuman itu menjadikan harga gula pasir kasar baharu RM2.85 sekilogram dan gula pasir halus RM2.95 sekilogram.

Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut selari dengan trend harga gula mentah di pasaran dunia yang semakin menurun.

“Diharapkan dengan turunnya harga gula akan dapat mengurangkan jangkaan kesan berangkai ke atas harga makanan dan minuman di pasaran,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian itu.

Beliau berkata gula merupakan barang kawalan yang dikawal bekalan dan harganya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi dan dijual pada harga terkawal.

“Hasil penurunan ini tidak bermakna kerajaan menyokong pengambilan gula berlebihan,” katanya.

Saifuddin turut mengingatkan para peniaga bahawa penjualan melebihi atau di bawah harga kawalan yang ditetapkan adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan. -mstar

0 comments

Post a Comment