Nov 5, 2018

Musa Aman Dibenarkan Ikat Jamin RM2 Juta Atas 35 Tuduhan Konsesi Kayu Balak!

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan ikat jamin RM2 juta dan 2 penjamin bagi bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan rasuah berjumlah RM263 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan jumlah itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam Musa, Amer Hamzah Arshad serta Ridha Abdah Subri.

Beliau turut memerintahkan Musa menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Amer meminta RM2 juta itu dijelaskan dalam 2 bayaran menjelang Rabu ini.
Katanya, Musa akan membayar RM500,000 hari ini, tetapi dibantah Sri Ram.

Rozina membenarkan Musa membayar RM1 juta hari ni dan bakinya pada Rabu ini.

“Anda perlu tinggal di sini sehingga anda membayar ikat jamin itu.”

Seorang daripada penjamin Musa ialah anak saudaranya yang tinggal di Shah Alam.

Musa didakwa melakukan kesalahan berkaitan konsesi balak di Sabah antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008 di Singapura serta Hong Kong, membabitkan transaksi AS$28,500 hingga AS$16,148,547 yang keseluruhannya berjumlah RM263 juta.

Lapan individu dikatakan merasuah Musa melalui 16 syarikat dikaitkan dengan mereka: Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tian Foh, Mazlan Zakaria, Loh Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Nip Wing Hon dan Ngui Ing Cheang.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, sebelum Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dikuatkuasakan pada 2009.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Hakim menetapkan 13 Disember 2018 ini untuk sebutan semula kes itu.

Ahli keluarga dan pegawai peribadi Musa turut hadir di mahkamah hari ini.

0 comments

Post a Comment